Rob Johnson, 44, dan isterinya, Marie Johnson, 43, menghadapi tuduhan serangan seksual. - Foto AP
Rob Johnson, 44, dan isterinya, Marie Johnson, 43, menghadapi tuduhan serangan seksual. - Foto AP

West Palm Beach, Florida: Satu pasangan suami isteri dihadapkan ke mahkamah kerana menjadikan seorang budak perempuan berusia 13 tahun sebagai hamba seks mereka serta mengurung mangsa dalam rumah, terasing dari dunia luar selama lima tahun.

Rob Johnson, 44, dan isterinya, Marie Johnson, 43, dari Port St Lucie, Florida, mengambil budak itu ketika dia berusia 13 tahun tinggal bersama mereka selepas ibunya meninggal dunia.

Menurut Jabatan Polis St Lucie Port, pasangan itu yang ditahan Selasa lalu, kemudian memberitahu mangsa bahawa dia hanya boleh menjadi sebahagian daripada keluarga itu jika melakukan hubungan seks dengan mereka.

Mangsa yang kini berusia 21 tahun memberitahu polis dia dipaksa memanggil Rob sebagai ‘Guru’ dan Marie menolaknya ke dinding sambil mencekak lehernya sehingga dia bersetuju memenuhi permintaan seksual mereka.

Dia juga dipukul apabila dia gagal mengikut arahan pasangan itu atau melaksanakan tugasnya sebagai hamba seks sehingga berusia 18 tahun.

Menurut polis, Rob Johnson mengadakan kelas setiap Ahad di rumah mereka menggunakan kitab Injil Perjanjian Lama untuk mewajarkan tindakan mereka.

Mangsa mengikuti pelajaran di rumah, tidak dibenar menggunakan telefon dan dipaksa mengikut apa yang dilatih ketika berjumpa doktor mengenai aktiviti seksnya.

Mangsa hanya berjaya meninggalkan rumah itu selepas neneknya membelikan tiket kapal terbang ke Ohio dan selepas tiga tahun, kisahnya terbongkar.

Pasangan itu dibebaskan dengan ikat jamin $60,000 (RM240,000) setiap seorang. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 10:14 PM