PASTIKAN perut kosong sebelum menjengah Harz Steamboat and Grill.
PASTIKAN perut kosong sebelum menjengah Harz Steamboat and Grill.
Nurul Husna Mahmud


Pastikan perut anda kosong sebelum menjengah restoran Harz Steamboat and Grill di Taman Bayu Puteri Johor Bharu. Mana tidaknya dengan pilihan perapan mencecah 25 jenis tentu saja ia menjadi igauan peminat hidangan stimbot dan panggang.

Teman yang juga pelanggan setia restoran itu menyarankan penulis tidak melepaskan peluang mencuba hida­ngan kambing iaitu perapan madu dan ‘hot chillis’ antara makanan popular di sini.

Pengurus Harz Steamboat and Grill, Aminah Abd Ghani berkata, dia bersama saudara lain melakukan perapan itu bagi memastikan bahan digunakan segar selain menggunakan resipi diolah sendiri memastikan setiap pilihan bahan perapan itu unik.

“Meskipun bercirikan sajian stimbot dan panggang yang menampilkan pelbagai jenis bebola sejuk beku, elemen lain dalam bufet kami ialah makanan laut seperti udang, ketam, kepah, sotong dan sebagainya.

“Ditambah pula pilihan sayur dan makanan siap masak seperti nasi goreng, mee goreng serta nuget ayam semestinya memuaskan pelanggan.

“Kelebihan kami di Harz Steamboat and Grill ialah 25 pilihan perapan resipi tersendiri membabitkan daging ayam, lembu dan kambing mempu­nyai sentuhan seolah-olah seperti menikmati di rumah,” katanya yang turut menyediakan perap beku kambing, ayam dan daging dihantar menerusi pos mahupun terus ke rumah bergantung kepada lokasi.

Meskipun tiada dekorasi ‘fancy’ , ruang makan restoran berkenaan terasa santai kerana terletak di kawasan lapang menyediakan persekitaran selesa ketika menjamu selera.

Harga ditawarkan RM25 bagi dewasa dan kanak-kanak RM13. Bagi warga emas pula hanya RM 10 dan percuma untuk kanak-kanak bawah enam tahun serta golongan kurang upaya (OKU).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:01 AM