Oleh Michelle Gun


Selepas berpisah dengan Pekin, Uqasha Senrose dikatakan bercinta dengan Syafik Kyle. Namun, baru-baru ini timbul pula desas-desus dia menjalin hubungan dengan pelakon Iqram Dinzly apabila memuat naik gambar mesra mereka di laman sosial masing-masing.

Pelakon cantik ini bagaimanapun menafikan perkhabaran itu dengan menegaskan Iqram hanyalah kawan baiknya.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bercinta dengan dia dan hubungan kami bukan serius.

“Pelik, dengan rakan artis lelaki lain tidak timbul pula isu begini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Super Spontan All Stars, kelmarin.

Pelakon berusia 23 tahun itu menjelaskan selesa berkawan dengan Iqram kerana jejaka itu berjiwa penyayang.

“Dia rakan yang baik. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya sedang mengenali hati budinya,” kata Uqasha.

Bakal muncul dengan telefilem Tok Samad Vespa, Uqasha berkata, dia belum bersedia menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki kerana mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya seni.

“Saya menganggap semua kenalan lelaki sebagai kawan dan menjadikan pengalaman percintaan lalu sebagai pengajaran,” katanya.

Mengusahakan bisnes tudung

Menyentuh penyertaannya dalam program Super Spontan All Stars, kakak kepada pelakon Nelydia Senrose ini mengaku gementar menyahut cabaran yang akan dilakukan.

Program yang bakal menyaksikan persaingan sengit 14 peserta itu akan bersiaran secara langsung dari Studio Visual Three, Bukit Serdang, pada 28 Ogos ini.

“Program ini memerlukan peserta beraksi secara spontan dan sedikit tertekan apabila saya bukan pandai melawak.

“Perasaan takut sememangnya ada, tetapi saya akan buat yang terbaik. Menang kalah bukan fokus utama kerana saya hanya mahu berseronok,” katanya.

Biarpun tidak berbakat dalam bidang lawak, Uqasha pernah menjadi artis undangan pada separuh akhir Super Spontan musim lalu.

“Pihak Astro memberitahu jumlah tontonan pada minggu itu meningkat dan menawarkan saya menjadi peserta musim ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Uqasha kini berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan bakal melancarkan jenama tudung sendiri dalam masa terdekat.

“Perniagaan ini milik sendiri sepenuhnya. Demi menjaga kualiti, saya mereka sendiri corak dan mencari material yang sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 10:05 AM