ANTARA peserta yang hadir untuk uji bakat AF2016.
ANTARA peserta yang hadir untuk uji bakat AF2016.
ANTARA peserta yang hadir untuk uji bakat AF2016.
ANTARA peserta yang hadir untuk uji bakat AF2016.
ANTARA peserta yang hadir untuk uji bakat AF2016.
ANTARA peserta yang hadir untuk uji bakat AF2016.
Najiy Jefri


Sejak diperkenalkan pada 2003, rancangan realiti yang mencari penghibur serba boleh terbitan Astro, Akademi Fantasia (AF) melahirkan ramai bintang dalam industri seni tanah air.

Buktinya, bermula dengan musim pertama menobatkan Vince sebagai juara diikuti Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6), Hafiz (AF7), Shahir (AF8), Hazama (AF9), Faizul (AF2013), Firman (AF2014) dan Sufie (AF2015).

Malah ada juga beberapa nama yang berjaya dalam dunia hiburan walaupun tidak menjadi juara, hasil inspirasi daripada rancangan program saduran dari Mexico, La Academia itu. Antaranya Aizat, Nana, Akim, Adira, Indah dan Azhael.

AF ternyata mewujudkan satu fenomena luar biasa dalam industri seni dengan format realiti yang berjaya menaikkan sekumpulan anak muda menjadi popular. Biarpun ada yang mempertikaikan apakah masih releven program yang mencungkil bakat nyanyian hasil daripada uji bakat di seluruh negara itu, realitinya AF ternyata masih diinginkan rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, kembali dengan musim baru, proses uji bakat AF 2016 yang diadakan di The Boulevard -ST Giles Premier Hotel, Midvalley Kuala Lumpur pada 15 hingga 17 Julai lalu mendapat sambutan yang cukup hangat apabila hampir 5,000 peserta hadir mencuba nasib.

Menurut penyanyi Mas Idayu yang bertindak sebagai Guru Persembahan Vokal berkata, selama tiga hari berkampung di lokasi uji bakat majoriti peserta yang hadir adalah peserta lelaki dan belum berpuas hati dengan vokal yang dipersembahkan mereka.

“Selama tiga hari berada di lokasi uji bakat pertama ini tidak ramai peserta wanita yang hadir mencuba peluang keemasan ini.

“Lagipun setakat semalam (Sabtu) belum ada peserta yang benar-benar menarik perhatian saya. Rata-rata yang hadir memiliki bakat yang sederhana dan saya belum cukup berpuas hati dengan bakat dan persembahan peserta.

“Biarpun ramai peserta datang daripada latar belakang yang berbeza, saya mencari peserta yang boleh mencuit hati penonton dan unik untuk diketengahkan dalam industri seni tanah air,” katanya.

Tambah Mas Idayu, biarpun ada peserta yang hadir ke uji bakat penuh dengan drama air mata dan pelbagai ragam, cara itu tidak sedikit pun melemahkannya untuk memilih yang terbaik.

“Ya. Ramai peserta yang berpura-pura menangis dan macam-macam ragam dapat dilihat sewaktu uji bakat berlangsung. Bagaimanapun, saya tidak tertipu kerana niat utama adalah mencari peserta yang versatil dan mahu mencantikkan rancangan ini.

“Lagipun saya tidak mahu menampakkan diri saya ‘bodoh’ sebagai juri dalam memilih peserta yang berkualiti. Apa yang lakukan sebagai juri adalah memilih yang terbaik untuk pihak produksi AF dan bakat sememangnya layak menyertai program ini,” katanya.

Bagi Edry Abdul Halim pula, rata-rata peserta yang datang ke sesi uji bakat hadir dalam keadaan yang tidak bersedia menyebabkan mereka gagal untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Saya mencari bakat yang ada nilai seorang bintang dan mempunyai personaliti yang tersendiri. Bagi saya, setiap peserta perlu bersedia kerana pentas ini adalah satu medan yang cukup sengit kerana setiap kali penganjuran pihak produksi meletak standard yang tinggi untuk melihat bakat baharu yang bakal dilahirkan.

“Justeru, saya berharap setiap peserta yang datang perlu berani, tidak gentar dan tidak manja serta mempunyai ketahanan mental yang kuat kerana untuk bergelar artis pada masa sekarang bukan mudah. Mereka perlu bersaing dengan sengit untuk meletakkan diri mereka setanding penyanyi sedia ada,” katanya.

AF tahun ini menampilkan beberapa tenaga pengajar baru. Program yang bakal bersiaran pada Ogos depan itu memilih Edry Abdul Halim sebagai Pengarah Seni Muzik, Linda Jasmine (Guru Tarian dan Koreografi), Shahrolbahri (Guru Vokal), Mas Idayu (Guru Persembahan Vokal) dan Ellie Suriaty Omar (Guru Seni Persembahan).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 11:20 AM