Meskipun hakikatnya agak sukar jurulatih beregu wanita negara Wong Pei Tty berharap salah satu daripada empat beregu wanita yang beraksi di Kejohanan Dunia kali ini dapat mengatasi rekod terbaik dirinya yang pernah mara ke suku akhir Kejohanan Dunia.

Jelas Pei Tty, perkara itu tidak mustahil untuk direalisasikan sekiranya semua anak buahnya berusaha bersungguh-sungguh dan tidak kenal erti putus asa.

“Saya rasa ini bukan kali pertama kita mempunyai empat wakil beregu wanita di Kejohanan Dunia. Ketika zaman saya bermain, kita juga pernah mempunyai jumlah sama.

“Pencapaian terbaik beregu wanita negara adalah daripada saya sendiri iaitu mara ke suku akhir. Saya berharap ada antara empat beregu ini yang dapat memecahkan rekod itu,” katanya menjelang saingan beregu wanita bermula hari ini.

Pei Tty serta gandingannya Chin Eei Hui pernah mara ke suku akhir Kejohanan Dunia sebanyak dua kali di Anaheim, Amerika Syarikat pada 2005 serta Madrid, Sepanyol tahun berikutnya.

Berdasarkan undian, gandingan pingat emas Sukan SEA Singapura, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho dilihat memperoleh undian paling mudah berbanding tiga lagi beregu lain.

Justeru itu, Pei Tty meletakkan keyakinan dan harapan kepada kedua-dua pemain itu untuk mara sejauh mungkin.

“Benar, mereka mempunyai undian bagus. Jika mereka melakukan persediaan rapi, mereka mampu melangkah lebih jauh.

“Semua pemain negara adalah underdog, jadi tiada tekanan di pihak kami,” katanya.

Tiga lagi beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean dan Joyce Choong-Yap Cheng Wen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 8:04 AM