NORZA ketika sidang media Kejohanan Badminton Master Malaysia. FOTO Amirudin Sahib
NORZA ketika sidang media Kejohanan Badminton Master Malaysia. FOTO Amirudin Sahib
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Penaja utama kejohanan Badminton Malaysia Masters (PMM), Perodua mahu menyaksikan adanya wakil negara bergelar juara pada edisi keenam penganjuran kejohanan itu kali ini.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Kejohanan bertaraf siri super 500 itu akan berlangsung dari 21 hingga 26 Mei di Axiata Arena, menawarkan wang tunai berjumlah AS$420,000 (RM2.01 juta) dilihat menjadi peluang buat beregu lelaki negara bergelar juara.

Ia susulan beberapa pasangan terkemuka dunia tidak menyertai kejohanan berkenaan yang mana Aaron Chia-Soh Wooi Yik diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Biarpun begitu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, PMM tetap menarik dan mendebarkan apabila persaingan bagi kategori perseorangan lelaki tampak lebih sengit.

Norza pada sidang media pelancaran PMM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini berkata, BAM meletakkan sasaran untuk menyaksikan wakil negara sekurang-kurangnya berjaya mara sehingga ke suku akhir.

"PMM akan tetap menyajikan sesuatu yang menarik untuk peminat dan menjadi medan terbaik untuk persiapan pemain negara ke Olimpik.

"Biarpun kejohanan ini berlangsung selepas kelayakan Olimpik ia tetap menarik perhatian pemain terkemuka dalam acara perseorangan seperti pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen (Denmark), Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia), Anders Antonsen (Denmark), juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn kerana penting bagi mereka untuk mengekalkan kedudukan ranking dan undian Olimpik nanti," katanya.

Justeru Norza ketika ditemui berharap 21 pemain yang mengalas cabaran kali ini akan memberikan yang terbaik demi negara.

Pada edisi 2023 Man Wei Chong-Tee Kai Wun hampir menamatkan kemarau kejuaraan apabila mara ke perlawanan akhir namun tewas kepada pasangan Korea, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dalam pertarungan tiga set 15-21, 24-22, 19-21.

Kali terakhir wakil negara bergelar juara di PMM adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran pada 2017.

Manakala Datuk Lee Chong Wei menjadi juara pada 2016 dalam acara perseorangan lelaki dan Goh V Shem-Lim Khim Wah bergelar juara beregu lelaki pada 2013.

Dalam acara beregu wanita Chin Eei Hui-Wong Pei Tty berjaya menghadiahkan kejuaraan pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:02 PM