ANGGOTA polis memeriksa fosil telur dinosaur yang dirampas dari sebuah rumah di Heyuan.
ANGGOTA polis memeriksa fosil telur dinosaur yang dirampas dari sebuah rumah di Heyuan.

Heyuan (China): Polis menyerbu sebuah rumah di bandar ini dan menemui 213 fosil telur dinosaur yang dicuri dari sebuah tapak pembinaan di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan di wilayah Guangdong pada 30 Julai lalu, pihak berkuasa turut menemui satu tulang dinosaur yang lengkap.

Jurucakap polis berkata, fosil telur dinosaur itu pada mulanya ditemui di sebuah tapak pembinaan pada Jun lalu.

Menurutnya, sebelum sempat saintis dan penyelidik tiba di lokasi berkenaan, fosil itu dicuri sekumpulan penduduk.

Fosil lengkap tulang dinosaur itu pula dipercayai dicuri di sebuah tapak cari gali di wilayah Liaoning.

Tulang dinosaur itu dikenal pasti daripada spesies Psittacosaurus yang hidup 100 juta tahun lalu.

Kegiatan cari gali haram sering berlaku di bandar ini sejak kali pertama fosil dinosaur dijumpai pada 1996.

Segelintir penduduk mencuri fosil dinosaur untuk dijadikan perhiasan dan ada yang menjualnya di pasaran gelap.

Kekurangan undang-undang bagi menghalang kegiatan berkenaan menyebabkan ramai penduduk terlepas daripada tindakan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:09 AM