Kuala Lumpur: Shell mengumumkan pelantikannya sebagai pembekal global tunggal minyak enjin disyorkan BMW AG bagi model kenderaan seperti BMW, BMW i, BMW M, MINI and BMW Motorrad.

Bermula tahun depan, pengeluaran minyak enjin premium Shell akan disediakan untuk pelanggan di rangkaian Kumpulan BMW merangkumi 3,5000 pengedar di lebih 140 negara termasuk China, Jerman, Russia, Afrika Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Produk Shell dijangka memenuhi spesifikasi enjin terbaru BMW yang disokong Teknologi PurePlus iaitu kejayaan formulasi minyak enjin melalui proses gas ke cecair yang dipatenkan dan dibangunkan melebihi 40 tahun dengan ia mengubah gas asli kepada minyak berasaskan kristal jernih.

Naib Presiden Eksekutif Shell Lubricants, Mark Gainsborough berkata, syarikat amat berbangga menjadi pembekal minyak enjin disyorkan bagi Kumpulan BMW dan berharap dapat membekal, menghasil dan memasarkan produk minyak ini menjelang 2015.

Menurutnya, perkara itu membuktikan pengiktirafan manfaat dan teknologi terkini Shell oleh salah satu daripada pengeluar kereta dan motosikal premium terkemuka di dunia termasuk inovasi terbaru Shell iaitu Shell PurePlus Technology untuk minyak enjin premium.

“Urus niaga ini membawa dua jenama terkemuka bersama-sama untuk menawarkan prestasi dan teknologi terbaik untuk perkhidmatan pelanggan BMW di mana kedua-dua syarikat mempunyai komitmen kukuh untuk produk premium dan perkhidmatan sekali gus mewujudkan persamaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:03 AM