AZMAN (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran  Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix, semalam.
AZMAN (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix, semalam.

Sepang: Shell Malaysia menjangkakan peningkatan dua peratus penguasaan pasaran bagi segmen minyak sintetik penuh melalui produk baru yang diperkenalkan untuk enjin motosikal iaitu Shell Advance Ultra dengan Teknologi PurePlus.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd Azman Ismail berkata, produk berkenaan yang berada di pasaran pada Januari 2015 menggunakan teknologi terbaru yang unik.

“Teknologi ini dibangunkan oleh Shell dan kami satu-satunya pengeluar minyak dengan teknologi seumpama ini,” katanya selepas majlis pelancaran yang diadakan sempena Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix di sini, semalam.

Menurutnya, teknologi PurePlus itu membabitkan proses penukaran gas asli kepada minyak asas yang jernih (GTL) dan tidak mempunyai sebarang bendasing seperti yang boleh ditemui dalam minyak mentah.

“Minyak asas ini dihasilkan di kilang Pearl GTL di Qatar yang juga kerjasama antara Shell dan Qatar Petroleum serta menjadi sumber produk GTL terbesar di dunia.

“Ia mempunyai tahap kelikatan tinggi selain prestasi geseran yang lebih baik berbanding kebanyakan minyak asas yang diperbuat secara konvensional,” katanya.

Menurutnya, produk berkenaan yang diletakkan di bawah kategori premium bagaimanapun tidak hanya dihasilkan untuk kegunaan motosikal berkuasa tinggi, sebaliknya ia sesuai digunakan semua kategori motosikal.

“Produk ini tidak eksklusif untuk pengguna motosikal berkuasa tinggi, sebaliknya ia dibangunkan untuk pemilik motosikal yang mahukan prestasi yang lebih baik tanpa mengira jenama atau kapasiti enjin motosikal.

“Malah, kami juga menjalankan ujian dengan pelbagai jenis motosikal di mana 77 peratus penunggang mendakwa merasai tunggangan lebih lancar dan berkuasa apabila menggabungkan Shell Advance Ultra dengan Teknologi PurePlus dan minyak Shell V-Power 97,” katanya.

Pihaknya yakin produk baru berkenaan akan meningkatkan penguasaan pasaran Shell khususnya dalam segmen minyak sintetik penuh.

“Setakat ini, jenama Shell terus menjadi pilihan pengguna dan kami juga adalah peneraju dalam segmen ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:03 AM