Jeli: Hajat tiga sekawan untuk bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu tidak kesampaian apabila mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122.6, Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Batu Melintang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, mangsa yang maut adalah Muhammad Amin Lasiman, 25, Mior Azhar Mohd Nor, 32, dan Muhamad Shahrir Rosdi, 24, masing-masing dari Seksyen 1, Sitiawan; Kampung Kedah, Beruas dan Taman Desa Bintang, Sitiawan di Perak.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.40 tengah malam apabila kereta Toyota Vios dipandu Muhammad Amin dari arah Gerik menghala ke Batu Melintang cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya kereta terbabit bertembung dengan sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun. Pertembungan itu menyebabkan kereta mangsa remuk dan ketiga-tiga mereka maut di tempat kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa adalah juruteknik di sebuah syarikat perkapalan di Lumut, Perak dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian terbabit pada jam 12.45 tengah malam.

“Lapan anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan kami mendapati semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan sudah tidak bernafas.

“Ada kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan kereta yang remuk, namun kita berjaya mengeluarkan semua mangsa menggunakan alat bantuan hampir setengah jam kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:36 AM