Putrajaya: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang penghantar surat dibebaskan selepas ditahan reman empat hari sejak Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 27 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 iaitu RM10,000 daripadanya didepositkan dan baki RM40,000 jaminan secara lisan oleh dua penjamin.

Penghantar surat itu yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan tetapi majistret mengekalkan jaminan itu.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazalie Abdul Khairi. Penghantar surat itu ditahan di kediaman keluarganya di Bentong, Pahang pada 6 petang Sabtu lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Dengan pembebasan lelaki itu, semua lima individu yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan berhubung 1MDB sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan suruhanjaya itu.

Pada Jumaat lalu, seorang pengarah syarikat pembinaan berusia 39 tahun, menjadi individu pertama ditahan untuk membantu siasatan itu, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan RM20,000 dalam bentuk wang tunai dan RM80,000 atas jaminan lisan dua penjamin.

Pada Sabtu lalu, Pengarah Urusan sebuah syarikat berusia 54 tahun bergelar 'Datuk' dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan mendepositkan RM20,000 tunai dan RM80,000 atas aku janji lisan dua penjamin.

Pada Isnin lalu pula, seorang pemilik tunggal sebuah syarikat perdagangan berusia 28 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 iaitu RM10,000 dalam bentuk wang tunai dan baki RM40,000 atas jaminan lisan dua penjamin. Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat bergelar 'Datuk' turut dibebaskan atas jaminan SPRM sebanyak RM100,000 iaitu RM20,000 daripadanya dalam bentuk tunai dan baki RM80,000 dengan jaminan lisan dua penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 6:34 PM