SEBAHAGIAN pelakon The Dream Boyz.
SEBAHAGIAN pelakon The Dream Boyz.
Oleh Michelle Gun


Selepas menghasilkan skrip filem hebat The Journey yang mencatat rekod kutipan tertinggi seba­nyak RM17 juta, pengarah dan penulis, Ryon Lee kini muncul dengan karya baru berjudul The Dream Boyz.

Menariknya, plot cerita filem komedi itu berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui Lee dalam kehidupan­nya.

Ia mengisahkan sekumpulan pelajar ber­usaha mencari idea untuk menghasilkan filem pendek bagi menyelamatkan Kelab Drama sekolah mereka ditutup berikutan kurang sambutan.

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses menyiapkan rakaman filem berkenaan.

Filem The Dream Boyz dijayakan barisan pelakon FS (Fuying & Sam), Eric Lin, Alvin Chong, Rayz Lim, Teddy Chin, Wang Qie, Mindee Tan, Jack Lim dan Jeff Chin.

Lee berkata, inspirasi menghasilkan filem itu berdasarkan beberapa pengalaman yang pernah dilaluinya.

“Filem ini mengisahkan per­sahabatan, cita-cita dan kasih sayang.

“Ia sesuai ditonton semua lapisan masyarakat dan akan membuatkan penonton me­ngimbau kembali impian yang pernah dicita-citakan suatu ketika dulu,” katanya.

Menurut Lee, dia bersama barisan pelakon kini sibuk menjelajah beberapa lokasi di negara ini untuk mempromosikan filem itu.

“Filem ini akan diperkenalkan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti menarik, pada masa sama dapat mengeratkan hubungan dengan peminat,” katanya.

Bagi menampilkan kelainan, tiga lagu tema dicipta khas bagi filem itu dengan satu daripadanya berjudul Oh nyanyian Alvin Chong dan Eric Lin.

Penonton pasti tercuit hati menyaksikan gelagat lucu setiap watak yang memiliki personaliti menarik seperti bersikap pelik, pemalu, tergagap-gagap dan ‘otak kuning’.

Saksikan tayangan The Dream Boyz di pawagam seluruh negara yang bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 9:38 AM