ANTARA babak bakal disaksikan dalam Rogue One.
ANTARA babak bakal disaksikan dalam Rogue One.
DONNIE Yen sebagai pahlawan buta Chirrut Imwe.
DONNIE Yen sebagai pahlawan buta Chirrut Imwe.
Susunan Michelle Gun


Sejak pembikinan Rogue One: A Star Wars Story diumumkan tahun lalu, banyak spekulasi dan perbincangan mengenai filem arahan Gareth Edwards itu hangat dibualkan di Internet.

Kini sehari menjelang tayangan Rogue One di pawagam seluruh negara, barisan pelakon berkongsi beberapa maklumat mengenai watak masing-masing yang bakal disaksikan penonton nanti.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Felicity Jones yang memegang watak heroin, Jyn Erso mendedahkan gembira Rogue One tidak akan kembali untuk sekuel kedua.

“Filem ini istimewa kerana tiada sambungan. Bagi saya, Rogue One boleh dianggap filem Star Wars yang ‘matang’.

“Pun begitu, penonton pasti seronok menyaksikan filem ini kerana padat dengan babak menarik,” katanya.

Jones yang dicalonkan dalam Anugerah Oscar bagi lakonannya dalam The Theory of Everything berkata, filem itu turut diselitkan babak komedi.

“Namun, seperti filem Star Wars lain, terdapat keseimbangan dalam penceritaan serius dan lawak,” katanya.

Mendedahkan antara babak menarik adalah bertarung dengan Darth Vader, Jones berkata, mempelajari teknik seni mempertahankan diri sebulan sebelum penggambaran Rogue One.

“Selain itu, bagi watak Jyn, saya juga dikehendaki mengubah cara berjalan dan bentuk badan,” katanya.

Pelakon itu turut mendedahkan membawa pulang kasut but Jyn selepas tamat penggambaran dan menggunakannya ketika bersiar-siar di taman.

Penglihatan kurang jelas

Sementara itu, pelakon hebat Hong Kong, Donnie Yen yang membawa watak sebagai pahlawan buta Chirrut Imwe berkata, mengalami masalah melihat dengan jelas setiap kali memakai kanta lekap khas.

“Memakai kanta lekap itu bukan mudah seperti disangkakan kerana sangat tidak selesa. Ia membuatkan saya hampir buta seperti Chirrut.

“Masalah itu turut membuatkan saya berdepan kesukaran menghayati watak,” katanya.

Menurut Donnie, dia mengambil tempoh seminggu bagi menyesuaikan diri menggunakan kanta lekap itu namun masih menghadapi situasi sukar ketika berinteraksi dengan pelakon lain ketika penggambaran.

“Salah satunya ketika berlakon dengan Felicity, saya terpaksa pandang lurus ke hadapan dan bukan ke arahnya, sekali gus menyukarkan saya memberi reaksi terhadap air mukanya,” katanya.

Tambah Donnie lagi, dia hanya dapat memakai kanta lekap itu selama tiga jam namun perlu memasangnya semula selepas 30 minit berehat.

Turut membintangi Rogue One, Diego Luna, Ben Mendel­sohn, Riz Ahmed dan Jiang Wen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:01 AM