AHMAD Shabery (empat dari kanan) bersama Aireen (empat dari kiri) pada majlis pelancaran AirAsia Onboard WiFi, semalam.
AHMAD Shabery (empat dari kanan) bersama Aireen (empat dari kiri) pada majlis pelancaran AirAsia Onboard WiFi, semalam.

Kuala Lumpur: AirAsia memperkenalkan perkhidmatan WiFi dalam penerbangan komersial bermula semalam yang dikenali sebagai roKKi Chats dengan harga pengenalan serendah RM5 untuk kapasiti 3 Megabait (MB).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, perkhidmatan berkenaan diperkenalkan bagi memenuhi kehendak penumpang khususnya dalam kalangan pelancong.

“AirAsia mementingkan inovasi menerusi produk dan perkhidmatan kami. Penting bagi kami memenuhi kehendak pelanggan untuk kekal relevan dalam kalangan mereka,” katanya selepas pelancaran yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, semalam.

Sebagai permulaan, pihaknya menawarkan perkhidmatan berkenaan terhad untuk aplikasi WeChat, WhatsApp dan LINE untuk empat pesawat.

“Buat masa ini, perkhidmatan ini boleh diperoleh daripada empat pesawat, namun kami menambah kepada 19 pesawat menjelang akhir tahun ini.

“Malah, kami juga memastikan semua 80 pesawat milik AirAsia yang beroperasi dari Malaysia dilengkapi infrastruktur untuk perkhidmatan ini menjelang suku kedua 2015,” katanya.

Aireen berkata, tetamu boleh mengenal pasti sama ada penerbangan mereka mempunyai perkhidmatan berkenaan melalui penanda dalam pesawat serta pengumuman yang dibuat kru penerbangan.

“Buat masa ini, kami hanya menawarkan 90 token bagi setiap penerbangan dan tetamu perlu memasukkan nombor pengenalan untuk mengaktifkan perkhidmatan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Jurutera AirAsia, Anaz Ahmad Tajuddin berkata, buat masa ini, sambungan Internet tidak dibenarkan di ruang udara Macau, China dan India kerana kerajaan dari negara berkenaan bimbang mengenai isu keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:06 AM