Nursyahirah Marzuki


PEMINAT siri animasi popular Ejen Ali kini boleh menonton rancangan berkenaan di 'udara' hasil kerjasama antara Primeworks Studio, Media Prima Berhad, WAU Animation dan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, inisiatif berkenaan tercapai menerusi kempen #MisiAspirasiAirAsia.

Beliau berkata, peminat Ejen Ali kini boleh menonton animasi musim pertama melalui ROKKI WIFI yang menawarkan hiburan dalam penerbangan termasuk permainan, muzik dan kandungan video tanpa henti yang ditawarkan dalam pesawat AirAsia.

"Kita bangga apabila dapat bekerjasama dengan AirAsia kerana mereka mempunyai misi yang sama dalam memberi keseronokan kepada kanak-kanak di samping menerapkan nilai murni.

"Malah, melalui kerjasama ini, AirAsia turut memperkenalkan Kombo Bintang Riang Edisi Ejen Ali iaitu hidangan khas yang direka mengikut kesesuaian selera kanak-kanak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kerjasama antara Media Prima Berhad dan AirAsia, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation Usamah Zaid.

Ahmad Izham berkata, animasi Ejen Ali adalah rancangan yang mempunyai jumlah tontonan tinggi iaitu kira-kira dua juta tontonan pada musim pertama dan pihaknya menjangkakan jumlah itu meningkat pada musim kedua yang mula ditayangkan minggu lalu.

Sementara itu, Aireen berkata, tetamu kanak-kanak adalah penting kepada pihaknya dan animasi Ejen Ali dapat memberi pengalaman menyeronokkan kepada kanak-kanak.

"Kini semua penumpang kami boleh menonton siri animasi Ejen Ali di dalam penerbangan selain menikmati hidangan khas yang boleh ditempah secara atas talian di airasia.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 5:22 PM
Ahmad Izham (empat kanan) bersama Aireen (tiga kanan) dan Usamah (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Kolaborasi AirAsia dengan Ejen Ali di AirAsia RedQ, KLIA 2. FOTO Luqman Hakim Zubir
Ahmad Izham (empat kanan) bersama Aireen (tiga kanan) dan Usamah (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Kolaborasi AirAsia dengan Ejen Ali di AirAsia RedQ, KLIA 2. FOTO Luqman Hakim Zubir