RIAD Ismat menggunakan perkhidmatan WiFi dalam pesawat AirAsia semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching.
RIAD Ismat menggunakan perkhidmatan WiFi dalam pesawat AirAsia semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching.
Nabil Basaruddin


PENUMPANG pesawat AirAsia kini berpeluang untuk melayari Internet semasa penerbangan pada ketinggian 30,000 kaki dengan sambungan Internet tanpa wayar (WiFi) yang dinaik taraf oleh syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia itu.

Perkhidmatan WiFi terbabit boleh dilanggan oleh para penumpang pesawat AirAsia pada harga mampu milik bermula serendah RM9 bagi data 10MB.

Selain itu, ia turut menyediakan pilihan data seperti 20MB, 50MB, 100MB dan 200MB masing-masing pada harga RM18, RM38, RM48 dan RM58.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, perkhidmatan WiFi yang dikuasakan oleh ROKKI, penyedia segmen hiburan dalam penerbangan itu menawarkan sambungan Internet berkelajuan tinggi kepada penumpang AirAsia.

Beliau berkata, setakat ini enam pesawat yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dan dua pesawat kendalian AirAsia Thailand dilengkapi dengan platform Ka-band.

Ka-band menawarkan pengalaman hiburan dan penyambungan (IFEC) yang dipertingkatkan melangkaui jalur lebar asas, menyokong video secara langsung dan penstriman musik.

“Kami mempunyai perancangan untuk memperkukuhkan penawaran perkhidmatan WiFi ini bagi seluruh rangkaian AirAsia Malaysia berbanding 55 pesawat setakat ini.

“Bagaimanapun, enam pesawat sudahpun tersedia dengan infrastruktur WiFi dengan platform Ka-band dan 49 pesawat belum dinaik taraf serta masih menggunakan platform L-band.

“Kami berharap menjelang tahun depan, perkhidmatan WiFi yang dinaik taraf ini juga dapat disediakan kepada semua keseluruhan 97 pesawat AirAsia Malaysia,” katanya kepada media selepas sesi pengalaman penggunaan perkhidmatan WiFi AirAsia dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching di Kuching, hari ini.

Perkhidmatan WiFi itu boleh dilanggan oleh para penumpang pesawat AirAsia yang mampu milik bermula dari harga serendah RM9 untuk data 10MB.

Selain itu, ia turut menyediakan pilihan data seperti 20MB, 50MB, 100MB dan 200MB masing-masing pada harga RM18, RM38, RM48 dan RM58.

Riad berkata, selain perkhidmatan WiFi, platform terbabit menyediakan segmen hiburan, musik, permainan, berita dan ruang beli-belah dalam talian kepada para penumpang.

“Caranya adalah begitu mudah, penumpang hanya perlu melayarinya melalui peranti mudah alih peribadi dengan sambungan secara percuma di mana-mana pesawat yang dilengkapi dengan perkhidmatan WiFi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:22 PM