RIAD menunjukkan simbol  WiFi dalam pesawat AirAsia ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching.
RIAD menunjukkan simbol WiFi dalam pesawat AirAsia ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching.
Oleh Nabil Basaruddin


PENUMPANG pesawat AirAsia kini berpeluang melayari Internet ketika penerbangan pada ketinggian 30,000 kaki dengan sambungan Internet tanpa wayar (WiFi) yang dinaik taraf syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia itu.

Perkhidmatan WiFi terbabit boleh dilanggan penumpang pesawat AirAsia pada harga mampu milik bermula serendah RM9 bagi data 10MB.

Selain itu, ia turut menyediakan pilihan data seperti 20MB, 50MB, 100MB dan 200MB masing-masing pada harga RM18, RM38, RM48 dan RM58.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, perkhidmatan WiFi yang dikuasakan oleh ROKKI, penyedia segmen hiburan dalam penerbangan itu menawarkan sambungan Internet berkelajuan tinggi kepada penumpang AirAsia.

Beliau berkata, setakat ini enam pesawat dikendalikan AirAsia Malaysia dan dua pesawat kendalian AirAsia Thailand dilengkapi dengan platform Ka-band.

Ka-band menawarkan pengalaman hiburan dan penyambungan (IFEC) yang dipertingkatkan melangkaui jalur lebar asas, menyokong video secara langsung dan penstriman muzik.

“Kami mempunyai perancangan memperkukuhkan penawaran perkhidmatan WiFi ini bagi seluruh rangkaian AirAsia Malaysia berbanding 55 pesawat setakat ini.

“Bagaimanapun, enam pesawat sudahpun tersedia dengan infrastruktur WiFi dengan platform Ka-band dan 49 pesawat belum dinaik taraf serta masih menggunakan platform L-band.

“Kami berharap menjelang tahun depan, perkhidmatan WiFi yang dinaik taraf ini dapat disediakan kepada semua 97 pesawat AirAsia Malaysia,” katanya selepas sesi pengalaman penggunaan perkhidmatan WiFi AirAsia dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching di sini, semalam.

Perkhidmatan WiFi itu boleh dilanggan oleh para penumpang pesawat AirAsia yang mampu milik bermula dari harga serendah RM9 untuk data 10MB.

Selain itu, ia turut menyediakan pilihan data seperti 20MB, 50MB, 100MB dan 200MB masing-masing pada harga RM18, RM38, RM48 dan RM58.

Riad berkata, selain perkhidmatan WiFi, platform terbabit menyediakan segmen hiburan, muzik, permainan, berita dan ruang beli-belah dalam talian kepada penumpang.

“Caranya begitu mudah, penumpang hanya perlu melayarinya melalui peranti mudah alih peribadi dengan sambungan secara percuma di mana-mana pesawat yang dilengkapi dengan perkhidmatan WiFi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:30 AM