Kuala Lumpur: Sekadar naib juara. Tiada lagi kejutan daripada gandingan beregu lelaki negara, Hoon Thien How (gambar)-Lim Khim Wah pada Terbuka Taiwan apabila mereka tewas pada perlawanan akhir di tangan Markus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia.

Pasangan yang mewakili Akademi Sports Affairs itu tumpas 12-21, 8-21 kepada pilihan utama kejohanan dalam tempoh 27 minit di Gimnasium Hsing Chuang, semalam.

Menurut jurulatih mereka, Rosman Razak, anak buahnya gagal mempamerkan permainan baik dan terlalu banyak melakukan kesilapan mudah namun kejayaan kali pertama mara ke perlawanan akhir selepas digandingkan bersama sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diharap menjadi pencetus semangat.

“Ini perlawanan akhir pertama mereka dan selepas ini kami akan terus bekerja keras lagi,” kata Rosman yang juga bekas jurulatih beregu wanita di BAM.

Perseorangan lelaki Indonesia yang juga pilihan ke-16, Sony Dwi Kuncoro muncul juara apabila mengalahkan wakil tuan rumah, Wang Tzu Wei 21-13, 21-15, manakala juara perseorangan wanita milik Lee Jang Mi (Kore Selatan) yang mengalahkan rakan senegara, Kim Hyo Min 21-16, 21-16.

Indonesia turut cemerlang dalam beregu wanita dan campuran, apabila Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut mengalahkan Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto (Jepun) 21-19, 21-14, manakala Ronald Alexander-Melati Daeva Oktaviani menumpaskan pasangan tuan rumah, Chang Ko Chi-Chang Hsin Tien 21-18, 25-27, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:41 AM