NOOR Rashid menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam lima serbuan dilakukan.
NOOR Rashid menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam lima serbuan dilakukan.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan menahan empat lelaki berusia 27 hingga 34 tahun dalam tangkapan berasingan di Pulau Pinang dan Lembah Klang pada Jumaat hingga semalam.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam tangkapan pertama yang dilakukan di sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang pada Jumaat lalu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga Nigeria dan merampas 2.6 kilogram syabu yang dijumpai di sebuah kotak berisi patung tembikar yang sudah diubah suai.

Menurutnya, susulan penangkapan lelaki itu polis menyerbu sebuah syarikat perkhidmatan kargo di Petaling Jaya, Selangor pada hari yang sama serta merampas 2.6 kilogram syabu yang disimpan di bahagian besi kaki meja di syarikat itu.

"Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Republik Guinea di daerah sama dan polis berjaya menjumpai setengah kilogram syabu yang disembuyikan suspek di dalam tempat duduk basikal yang sudah diubah suai," katanya kepada pemberita di Bukit Aman, sebentar tadi.

Noor Rashid berkata, pihaknya turut berjaya menggagalkan sindiket penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menahan seorang keldai warga India pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 1:16 PM