Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.2 juta menerusi lima siri serbuan di sekitar Kelantan pada Rabu lalu.

Menerusi serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kelantan turut menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand yang berusia antara 20 hingga 54 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata pihaknya melancarkan lima serbuan di sekitar Kelantan hasil risikan dan intipan.

"Menerusi serbuan ini, kita menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan.

"Dadah yang dirampas sebanyak 521 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.2 juta yang disembunyikan dalam dua kenderaan.

"Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 2.6 juta penagih dadah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari Thailand melalui jalan darat, sebelum bekalan itu diedarkan untuk pasaran tempatan terutama Lembah Klang.

"Kita percaya sindiket berkenaan mula aktif sejak Mei tahun ini dan lelaki Thailand yang ditahan itu berperanan sebagai koordinator di negara jiran.

"Kita juga percaya kumpulan sindiket ini mempunyai rangkaian dengan Myanmar dan Thailand.

"Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Jelasnya, saringan ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis Benzo, manakala tujuh lagi suspek negatif dadah.

"Semakan rekod juga mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Kita juga menyita lima kenderaan yang dianggarkan bernilai RM309,000. Hasil operasi ini kita berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah methamphetamine untuk pasaran tempatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saki baki kumpulan berkenaan," katanya.

PDRM merampas 521kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.2 juta menerusi lima siri serbuan di sekitar Kelantan pada Rabu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PDRM merampas 521kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.2 juta menerusi lima siri serbuan di sekitar Kelantan pada Rabu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 12:33 PM