Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah jenis syabu dan ganja bernilai RM1.5 juta dalam empat serbuan di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah pada Rabu hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, seramai sembilan suspek termasuk seorang perempuan berusia antara 19 hingga 54 tahun ditahan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, tiga lelaki warga Nigeria, dua lelaki Iran dan seorang wanita warga Thailand membabitkan rampasan dadah jenis ganja seberat 119.4 kilogram dan syabu seberat 10.58 kilogram," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.

Noor Rashid berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pasukan JSJN sebelum operasi dijalankan bersama Pasukan Taktikal Khas Perisikan Narkotik (STING).

"Pemantauan berterusan dilakukan di lapangan terbang antarabangsa, syarikat kurier, pelabuhan dan sempadan Malaysia-Thailand yang menjadi lokasi sindiket penyeludupan masuk dadah ke negara ini," katanya.13

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 2:16 PM