Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan syabu kian kreatif apabila dikesan menyembunyi bungkusan dadah di dalam kaki meja komputer dan tempat duduk basikal.

Tindakan licik sindiket dadah antarabangsa didalangi warga Nigeria itu bagaimanapun, dibongkar selepas polis melakukan lima serbuan dan menahan empat lelaki pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil serbuan itu polis merampas dadah seberat 9.4 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta ringgit.

“Serbuan pertama dilakukan jam 3.10 petang Jumaat lalu dan polis menahan lelaki warga Nigeria di sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui syabu seberat 2.6kg disembunyikan suspek di dalam kotak berisi patung tembikar yang diubah suai,” katanya.

Susulan penahanan lelaki itu, polis mematahkan cubaan menyeludup dadah menggunakan khidmat sebuah syarikat perkhidmatan kargo udara beroperasi di Petaling Jaya, di sini.

“Polis turut menemui 2.6kg syabu disembunyikan di dalam bahagian kaki meja komputer.

“Kami kemudian menahan seorang lelaki warga Republik Guinea di kawasan Petaling Jaya serta merampas 0.5kg syabu disembunyikan di bawah tempat duduk basikal,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat dilakukan membolehkan polis memberkas seorang lelaki warga India yang bertindak sebagai keldai dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami (polis) menemui 1.7 kilogram syabu yang disembunyikan di dalam bagasi suspek yang turut diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kami percaya suspek dijadikan keldai dadah oleh sindiket antarabangsa untuk memasuki negara ini,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, operasi diteruskan apabila seorang lelaki tempatan ditahan di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, Petaling Jaya, kelmarin.

“Semasa ditahan, polis turut merampas syabu seberat 2kg yang disembunyikan di dalam tempat duduk basikal yang turut diubah suai.

“Kami percaya lelaki (suspek) ini membawa masuk syabu dari negara China melalui perkhidmatan kurier. Polis akan menjalankan siasatan ke mana syabu ini akan dipasarkan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek berusia 27 dan 34 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:09 AM