AHLI perniagaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
AHLI perniagaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM2,950 kepada anggota polis sebagai dorongan tidak menahannya yang memiliki dadah dan peluru hidup, Januari lalu.

Tertuduh, Lim Wee Kwang, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memberi suapan itu kepada Inspektor Mohd Mokhtar Mohd Nor di Jalan Sepat, Taman Banang, Batu Pahat dekat sini, 7.45 petang, 14 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Fazlin Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 11:07 AM