ELANTRA Edisi Sport.
ELANTRA Edisi Sport.
Oleh Erywan Norshal


Jika mahu mencari kelainan, Hyundai Elantra Edisi Sport adalah jentera yang sesuai dimiliki selain ditawarkan dengan harga paling menarik dalam kenderaan segmen C.

Namun, perlulah membuat keputusan segera kerana hanya 999 unit ditawarkan pada harga jualan RM91,928 tidak termasuk insurans.

Menariknya model itu, ia dilengkapi kit badan sporty merangkumi bampar bahagian hadapan dan belakang serta ‘skirt’ sisi. Ia diserlahkan lagi dengan ekzos peredam berkembar serta pelekat badan edisi khas yang menggabungkan kod bar serta nombor siri antara 001 sehingga 999.

Perubahan ruang dalaman hanya pada sistem hiburan paparan 6.2 inci dan sebagai pilihan, boleh pasang kamera belakang berharga RM300.

Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), Lau Yit Mun berkata, pihaknya memperkenalkan edisi itu berikutan permintaan daripada pelanggan yang mahukan varian sport, selain model Elantra terkenal dengan reka bentuk elegan.

“Oleh itu, kita berharap pelancaran Edisi Sport ini mampu menarik generasi muda memilikinya dan bagi mereka menghargai reka bentuknya yang tampak sporty serta moden,” katanya.

Bagi Edisi Sport, jentera itu dijanakan enjin Gamma 1.6 liter MPI D-CVVT dengan padanan transmisi enam kelajuan. Ia juga ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu putih dan hitam.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan aktif dan pasif terkini untuk memberi perlindungan maksimum membabitkan penggunaan kerangka Kekuatan Tegangan Ultra Tinggi, Kawalan Kestabilan Elektronik, Sistem Brek Anti kunci serta Pengurusan Kestabilan Kenderaan.

Bagi 200 pelanggan pertama membeli Elantra Edisi Sport, akan ditawarkan sama ada dua syiling emas atau rebet tunai sehingga RM3,500.

Sempena sambutan Aidilfitri, HSDM turut memperkenalkan promosi ‘Glittering Raya’ yang menawarkan enam syiling emas Edisi Terhad ‘Sonata 30 Anniversary’ dengan pembelian mana-mana model Hyundai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:01 AM