VELOSTER Turbo.
VELOSTER Turbo.
Oleh Erywan Norshal


Model terbaru keluaran Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), Veloster Turbo pasti membuatkan anak muda tempatan ‘tersenyum’ jika melihat prestasi enjin baru yang ditawarkan pada model berkenaan.

Jika dibandingkan, enjinnya boleh bersaing dengan beberapa jentera lain seperti Ford Fiesta ST, Peugeot 208 GTI dan Volkswagen Polo GTI.

Namun berdasarkan reka bentuknya pula, Veloster Turbo tidak termasuk dalam kategori segmen kereta berkenaan, kerana ia menyalurkan rekaan model kompak Kammback.

Varian lebih berkuasa itu menawarkan prestasi tertinggi menerusi enjin 1.6 liter pengecas turbo tatal berkembar. Enjin T-GDI menghasilkan kuasa 186 PS dan tork setinggi 265 Nm.

Prestasinya jelas berbeza antara 40 peratus lebih kuasa serta 68 peratus lebih tork berbanding enjin biasa sebelum ini.

Kotak gear terbaru yang dibangunkan Hyundai Motor Company menerusi transmisi klac berkembar tujuh kelajuan ternyata memberi impak dalam menyalurkan prestasi tork terbaik.

Penyampaian tork seawal 1,500 rpm membolehkan Veloster Turbo memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh lapan saat dengan kelajuan maksimum 214 kilometer sejam (km/j).

Pemanduannya juga lebih baik apabila pengguna boleh memilih mod stereng tertentu sama adaNormal, Comfort dan lebih berat jika memilih Sports.

Ruang kabinnya menerima sentuhan teknologi eksklusif terbaru menerusi ‘Supervision Gauge Cluster’ yang membekalkan maklumat pemandu di atas skrin lebih besar dan jelas antara takometer serta meter kelajuan.

Seperti semua model Veloster, varian Turbo dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, lipatan kerusi belakang 60:40, skrin sentuh berwarna tujuh inci, sistem bunyi premium serta bumbung panorama.

Rekaan luarannya juga lebih tampak kemas apabila didatangkan lampu projektor HID bersama padanan lampu nyalaan siang hari. Bahagian belakang, terutama bampar, direka semula dengan lampu kabus dan penggunaan ekzos berkembar serta tampak tegap selepas menggunakan rim aloi 18 inci.

Bagi mereka yang mahu lebih sporty, HSDM turut menawarkan varian Veloster Turbo Sport apabila ruang kabin dihiasi kerusi sport dua warna bersama jahitan perkataan Turbo pada bahagian sisi.

Selain edisi turbo, HSDM masih menawarkan Veloster enjin 1.6L Multi-Point Injection (MPI) yang didatangkan dengan varian Premium.

INFO

Senarai harga atas jalan, termasuk insurans

* Veloster Premium Gamma 1.6 MPI - RM132,928.50

* Veloster Turbo - RM152,476.14

* Veloster Turbo Sport - RM156,213.70

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 11:19 AM