Lizam Ridzuan


Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), pengedar kenderaan jenama Hyundai di negara ini menawarkan model hatchback prestasi Hyundai i30 N Edisi Terhad untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusannya, Low Yuan Lung berkata, model ‘hot hatch’ lima pintu itu dijual sebanyak 20 unit saja melalui laman web dan aplikasi jual beli, Lazada.

“Pratempahan boleh dilakukan menerusi ciri ‘Chup Dulu’ Lazada mulai 2 Disember sebelum dijual secara eksklusif pada 12.12.19 untuk acara Jualan Hujung Tahun Mega,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 20 pembeli yang bertuah bakal dibawa ke Korea untuk pengalaman memandu jentera Hyundai di litar perlumbaan di sana.

PRATEMPAHAN boleh dilakukan menerusi ciri ‘Chup Dulu’ Lazada mulai 2 Disember.
PRATEMPAHAN boleh dilakukan menerusi ciri ‘Chup Dulu’ Lazada mulai 2 Disember.

Hyundai i30 N didatangkan dengan enjn 2.0 liter T-GDi pengecas turbo yang menjana kuasa 275 PS dan tork 353Nm melalui kotak gear enam kelajuan manual.

Lima mod pemanduan ditawarkan iaitu Eco, Normal, Sport, N dan N Custom yang dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta Electronic Limited Slip Differential (E-LSD), sistem bunyi dan penyesuaian-‘rev’ enjin.

“Penawaran model prestasi yang pertama untuk Hyundai di negara ini khusus buat peminat automotif yang gemarkan kenderaan edisi terhad dan prestasi yang mana setiap unit didatangkan dengan nombor siri,” katanya.

Menurutnya, untuk pasaran di negara ini, model ini hanya ditawarkan dengan varian N Performance yang dipadankan dengan rim aloi 19 inci dan angkup brek cakera merah dengan logo N.

Hyundai i30 N dijual pada harga RM298,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti atau 300,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 5:47 PM