AWIE. Foto fail NSTP Yazit Razali
AWIE. Foto fail NSTP Yazit Razali
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi rock terkenal, Awie, 46, mengakui sambutan Aidilftri tahun ini adalah paling sedih dalam hidupnya kerana pertama kali tidak dapat meraikannya bersama ibu tercinta, Azizah Abdul Hamid yang meninggal dunia Disember tahun lalu.

Selain itu, dia juga akan menyambut Aidlfitri dengan seorang daripada lima anaknya iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, kerana dua lagi anaknya Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Putri Qasseh Antasha, 5, bersama ibu mereka, Rozana Misbun.

Dua lagi anaknya, Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13, pula bersama bekas isterinya, Arni Nazira.

Awie berkata, pertama kali berdepan situasi ini, dia sukar menjangka apa yang akan berlaku pada hari raya pertama nanti.

“Sekarang pun saya sudah terasa syahdunya. Emak pun dah tiada dan dua anak pun tiada di sisi. Ini memang sesuatu yang menyedihkan.

“Saya belum pasti akan ke mana bersama Merrah. Selalunya setiap tahun saya akan bawa anak naik kereta pusing ke seluruh negara. Kadang-kadang kami ke Kelantan, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Anak pun suka dengan apa yang saya buat. Sewaktu ibu ada, hari pertama dihabiskan dengan dia. Sekarang saya akan pergi ke rumah kakak-kakak dan singgah rumah saudara-mara mana yang sempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 6:38 PM