FAZLI Zainal. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
FAZLI Zainal. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Syanty Octavia Amry

Tiada istilah merajuk atau jauh hati sebaliknya Fazli Zainal yang sebelum ini popular dengan lagu Harapan belum bersedia untuk tampil dengan single baharu.

Fazli, 41, berkata, sebagai orang yang sudah lama berada dalam industri seni dia enggan melakukan sesuatu yang merugikan.

Justeru, buat masa ini dia lebih selesa berada di belakang tabir selain aktif melakukan kerja pengurusan acara.

“Saya bukan merajuk tetapi sentiasa peka dengan perkembangan semasa. Saya lihat sekarang peminat lebih sukakan penyanyi muda dan baharu.

“Dengan kemunculan lagu-lagu daripada penyanyi muda saya rasa lebih baik ruang diberikan kepada mereka.

“Lagipun, pada usia sekarang saya lebih suka melakukan sesuatu yang mendatangkan keuntungan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Fazli ditemui pada majlis pelancaran kedai Doraemon di Gateway @ KLIA2, berkata, walaupun kurang mendapat publisiti, dia masih rancak menerima undangan persembahan di majlis keramaian.

“Diam bukan bererti saya tidak melakukan apa-apa. Saya masih aktif menyanyi di majlis tertutup dan keramaian.

“Alhamdulillah, rezeki tak pernah putus cuma tidak mendapat publisiti media saja,” katanya.

Sambung Fazli, sebelum ini dia pernah memperkenalkan lagu baharu duet bersama beberapa rakan artis termasuk Bob AF2.

“Bagi mengubat kerinduan merakamkan single saya tampil dengan lagu duet dua tahun lalu. Lagu itu berkonsepkan kerohanian bertajuk Kurnia.

“Saya mahu cari kelainan dan disebabkan ia hanya dimainkan pada Ramadan, Kurnia kurang mendapat perhatian.

“Insya-Allah, sampai masa nanti saya akan kembali dengan single baharu yang konsepnya seakan sama dengan Harapan,” katanya.

Berkongsi kerja belakang tabir, Fazli berkata, dia semakin selesa dengan apa yang dilakukannya malah gembira kerana bidang itu meluaskan lagi jaringan silaturahim dengan banyak pihak.

“Asalnya saya menyanyi di majlis keramaian. Lama kelamaan apabila ada yang menjemput saya menjadi pengacara majlis terus rasa selesa.

“Sejak itu mereka beri kepercayaan kepada saya untuk menguruskan pelbagai acara dengan mendapatkan khidmat artis untuk menjayakan persembahan.

“Secara tidak langsung saya dapat buat dua kerja dalam satu masa iaitu menyanyi dan menguruskan acara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:01 AM