FAZLI
FAZLI
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan penyanyi, Fazli Zainal yang dikejarkan ke Hospital Ampang akibat positif Covid-19, semalam pada ketika ini diakuinya semakin pulih.

Fazli dihubungi berkata, sudah ada perubahan terhadap keadaan kesihatannya terutama pernafasan berbanding sebelum ini.

"Doktor sekarang masih memantau perkembangan kesihatan saya setiap empat jam dan saya dijangka akan sembuh sepenuhnya sekitar lima hari lagi.

"Namun, kadar insulin pula turun naik. Saya juga tak pasti positif Covid-19 tahap tiga atau empat kerana saya ada menghidap penyakit lain," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, penyanyi yang popular dengan lagu Harapan ini dikejarkan ke Hospital Ampang selepas tahap oksigen dalam badannya menurun kepada 75 peratus. 

Dia turut menerima bantuan alat pernafasan selain memaklumkan ujian calitan yang dibuat mengesahkan dirinya positif Covid-19. 

Fazli sangat berterima kasih kepada rakan artis, kenalan dan peminat yang mendoakan kesihatannya dan tidak putus bertanya khabar.

"Saya terharu kerana ramai sangat yang ambil berat. Namun saya minta maaf kerana tak terlarat nak balas dan menjawab mesej seerta komen mereka di media sosial.

"Memang terkejut saya dibuatnya, apabila saya balas satu komen dan datang pula soalan lain. Saya ketika ini kena banyak berehat," katanya lagi. 

Ditanya aktiviti terbaharubya, Fazli berkata dia melakukan kerja sambilan sebagai pemandu  Lalamove sejak Disember, tahun lalu sehingga Ramadan lalu.

"Selepas buat penghantaran, saya balik ke rumah dan main Bigo Live pula," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 2:34 PM