Fazli Zainal
Fazli Zainal
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan penyanyi Fazli Zainal, 43, kini beransur pulih apabila paras oksigen digunakannya untuk bantuan bernafas semakin rendah kepada satu liter.

Fazli ketika dihubungi berkata, dia juga sudah mula cuba bernafas dengan sendiri tanpa bergantung dengan bantuan oksigen sejak kelmarin.

"Kalau ke tandas, dah boleh tak guna bantuan oksigen selama 10 minit. Tapi, jika duduk di katil, saya tetap pakai (bantuan oksigen) kerana tak mahu paras oksigen dalam badan menurun.

"Asalkan tempat itu tidak tertutup, saya sudah okay untuk bernafas. Namun, tidak boleh lama-lama sangat sebab saya cepat mengah dan lagi satu, tak boleh sejuk sangat," katanya kepada Harian Metro.

Mengakui tahap pernafasannya belum betul-betul stabil, penyanyi lagu Harapan ini berkata, dia sekadar cuba bernafas sendiri untuk membiasakan diri.

"Buat masa sekarang, memang ada 'standby' oksigen satu liter saja. Apatah lagi, paru-paru saya sudah 75 peratus rosak, jadi ia ambil masa sikit untuk pulih.

"Doktor pun sebelum ini ada beritahu saya, tempoh paru-paru yang rosak ini nak pulih sepenuhnya ambil masa sekitar tiga hingga enam bulan dan saya harus sabar, banyak berdoa serta teruskan rawatan," katanya.

Fazli berkata, sejak berita mengenai paru-parunya rosak akibat Covid-19 disiarkan Harian Metro baru-baru ini, ramai sahabatnya dari luar negara di London, Bahrain, Australia dan Singapura menghubunginya bertanya khabar.

"Mereka dapat tahu mengenai saya dari berita itu yang tular. Saya amat berterima kasih dan tak sangka ramai orang yang mendoakan dan sayangkan saya juga," katanya.

Terdahulu, Fazli dimasukkan ke Hospital Ampang pada 31 Julai lalu kerana tahap oksigen dalam badannya turun sehingga 75 peratus akibat positif Covid-19. Ketika itu dia menjalani kuarantin kendiri di rumah selama seminggu.

Menurut Fazli, keadaan kesihatannya menjadi teruk akibat Covid-19 sebelum ini mungkin kerana dia belum berkesempatan mengambil suntikan vaksin dos pertama yang sepatutnya pada 23 Julai lalu apabila sudah dijangkiti sebelum tarikh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 2:24 PM