MINTA peminat doakan hubungan dengan Sherry berjalan lancar.
MINTA peminat doakan hubungan dengan Sherry berjalan lancar.
Syanty Octavia Amry


Awal kemunculan lakonannya dikritik hebat malah pernah dilabel ‘kayu’.

Kutukan keras itu sedikit pun tidak mematahkan semangat Fattah Amin untuk terus mencuba dan memperbaiki mutu lakonannya.

Berkat kesabaran dan kerja keras, Fattah kini mampu tersenyum apabila semakin diterima malah wajahnya sering menghiasi kaca televisyen.

Drama bersiri Bencinta dan Cinta Ibadah berjaya menempatkan namanya di hati peminat tegar drama Melayu. Sejak itu rezekinya semakin murah malah ada tawaran terpaksa ditolak kerana bertindih jadual.

“Saya tidak pernah ambil hati atau marah dengan apa yang orang cakap mengenai saya dulu. Kritikan pedas itu membuka mata saya untuk memperbaiki mutu lakonan.

“Alhamdulillah, kini orang ramai sudah boleh menerima persembahan saya. Banyak komen positif diberikan sekali gus membakar semangat saya untuk buat lebih baik.

“Saya masih dalam proses belajar dan akan terus mengasah skil lakonan agar lebih mantap. Saya tidak mahu lagi dilabel kayu,” katanya mesra.

Mengulas perkembangan terkini, Fattah akan bergandingan dengan Fathia buat kali ketiga menerusi drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi yang akan bersiaran di TV3.

Beralih perihal cinta, dia yang kini menjalin hubungan dengan pelakon cantik, Sherry Ibrahim berharap peminat merestui dan mendoakan kebahagiaan mereka.

Ujar Fattah, meskipun belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga, niat ke arah itu sudah ada.

“Setakat ini kami belum rancang apa-apa, tetapi berharap hubungan ini akan jadi lebih serius.

“Sebelum mendirikan rumah tangga, saya mahu kukuhkan kerjaya dan ekonomi terlebih dulu. Tanggungjawab ketua keluarga bukan mudah, saya kena pastikan diri ini mampu dan benar-benar bersedia.

“Insya-Allah jika sampai waktu, saya akan umumkan kepada semua. Doakan semuanya baik-baik saja dan berjalan lancar,” katanya yang akan berkunjung ke rumah Sherry pada hari raya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:59 AM