ERWIN Dawson
ERWIN Dawson
Syanty Octavia Amry


Walaupun sudah tiga tahun bertapak di Malaysia, pelakon dari Singapura, Erwin Dawson mengakui masih banyak perkara yang belum dicapainya.

Sudah berlakon empat filem dan beberapa drama, Erwin berkata, dia belum mencapai kepuasan untuk melihat cerita lakonannya menjadi buah mulut orang ramai.

Filem terbaru Erwin berjudul Bisik Pada Langit bakal menemui penonton pada 21 September ini dan drama bersiri Miss Kapten Cikgu Waiz sedang ditayangkan di TV3.

Namun itu belum cukup membuatkan nama Erwin dikenali ramai.

“Selepas tiga tahun berlakon, saya belum dapat meraih populariti untuk dikenali ramai. Jika berlakon bagus tetapi cerita tidak boleh pergi, susah juga.

“Disebabkan itulah, apabila diberi peluang berlakon buat kali kedua di bawah arahan Kabir Bhatia untuk filem Bisik Pada Langit saya sangat gembira,” katanya.

Erwin berkata, dia tidak mahu menjadi pelakon yang hanya bersandarkan kepada paras rupa semata-mata.

Baginya, lakonan juga perlu seiring dan itu yang membuatkan dia perlu bekerja keras untuk memastikan mutu lakonannya lebih baik pada masa akan datang.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan nyanyian, Erwin yang mempunyai kumpulan duo yang digelar A Ok turut rancak mempromosikan single kedua mereka berjudul Terbaik.

Single itu turut dinyanyikan sama oleh Diana Danielle dan pilihan Diana atas sebab kesungguhannya dapat dilihat yang sangat berusaha untuk menjadi seorang penghibur.

“Single ini sudah dilancarkan sebelum Ramadan dan kami memulakan promosi di pantai timur.

“Apabila ia hendak diteruskan di ibu kota orang sudah mula sibuk dengan lagu Aidilfitri. Oleh itu, sekarang kami kembali sibuk mempromosikan semula single Terbaik,” katanya.

Erwin berkata, buat masa sekarang jiwanya lebih fokus terhadap lakonan dan nyanyian adalah perkara kedua.

“Buat masa sekarang saya mahu fokus lakonan dulu. Lagipun, saya belum sempat menghadiri kelas vokal untuk lebih menumpukan perhatian terhadap nyanyian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:21 AM