Oleh Rudy Imran Shamsudin

Apabila tersebar berita pelakon Sherry Ibrahim, 31, hangat bercinta dengan pendatang baru, Fattah Amin, 24, ramai menjangkakan ia hanya gosip cinta lokasi.

Tambah pula waktu itu mereka baru selesai menjayakan drama bersiri Cinta Ibadah yang kini disiarkan di Astro Prima dan Maya HD.

Beberapa bulan berita percintaan mereka tersebar, timbul pula dakwaan kedua-dua pelakon ini memutuskan hubungan mereka. Apabila Sherry tampil memberi kenyataan kecewa dengan berita yang disebarkan, umum dan peminat yakin mereka benar-benar serius.

Sherry yang ditemui di majlis sidang media drama terbaru lakonannya, Keluarga Karaoke menjelaskan, dia tidak pernah memperolok soal hati dan perasaan.

Katanya, dia selalunya akan serius apabila membabitkan soal hubungan cinta sejak dulu lagi.

"Memang saya tidak pernah main-main dan setiap hubuÂngan cinta, saya pandang dan ambil serius. Cuma sekarang kalau ada yang bertanya adakah kami akan bernikah dalam waktu terdekat sebagai bukti kami benar-benar serius, itu saya tidak boleh nyatakan memandangkan soal jodoh Allah yang tentukan," katanya.

Sherry atau Syarizad Ibrahim berkata, dia dan Fattah masih dalam peringkat mengenali antara satu sama lain, tambah pula usia hubungan cinta dibina belum mencecah setahun.

"Beri kami masa. Lagipun, tiada apa yang mahu dikejarkan. Fattah sendiri berusaha membina kerjaya, begitu juga saya. Kalau boleh, kami tidak mahu membuat keputusan tergopoh-gopoh," katanya.

Mengenai beza usia tujuh tahun, tegas Sherry, ia tidak seharusnya dijadikan alasan, tambah pula kedua-dua mereka bertemu di saat tidak mempunyai hubungan dengan orang lain.

"Saya masih bujang dan tidak pernah berkahwin, jadi apa masalahnya. Walaupun Fattah masih muda, dia matang. Kalau benarpun kami berdua berbeza, ia hanya dari sudut perjalanan hidup dan kerjaya. Perkara lain, tiada masalah dan kami serasi," katanya.

Sepanjang mengenali Fattah, Sherry akui walaupun jejaka bertubuh lampai itu muda, dia sangat bertanggungjawab, pandai berdikari dan lebih penting, sentiasa bekerja keras. Itu antara kriteria utama yang dicarinya dalam diri lelaki.

Kata Sherry, perasaan cinta yang timbul antara dia dan Fattah bukan sesuatu yang dirancang. Malah, katanya, dia percaya kepada cinta pandang pertama, tetapi apa yang berlaku antara dia dan Fattah sangat berbeza.

"Sepanjang penggambaran Cinta Ibadah, kami tidak rapat. Malah, Fattah tidak ambil pusing apa yang berlaku di sekelilingnya selain menumpukan perhatian sewaktu penggambaran berjalan.

"Bagaimanapun, kami mula rapat apabila penggambaran selesai dan bertemu di luar. Dalam berkawan itu, tiba-tiba timbul perasaan suka dan cinta. Tidak pernah terlintas di fikiran saya yang ia akan berlaku," katanya.

Mengenai kerjaya lakonan, baru-baru ini Sherry membuat keputusan untuk tidak lagi berada di bawah pengurusan Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd (LOL) milik Dafi.

Bercerita lanjut perkara itu, kata Sherry, dia mengambil keputusan untuk berdikari dengan menguruskan kerjaya sendiri. Tambah pula dengan pengalaman sepanjang hampir 10 tahun bergelar pelakon, ia bukan masalah untuk dilaksanakan.

"Di awal pembabitan dalam bidang lakonan pun saya menguruskan kerjaya sendiri, selepas dijaga bekas pengurus Arwah Meor Shariman. Kemudian saya meninggalkan dunia seni dan menyambung kerjaya sebagai pramugari.

"Cuma apabila kembali berlakon dan menjayakan drama bersiri Teduhan Kasih, saya bertemu Dafi dan rakan kongsinya Afiq. Mereka mempelawa saya menyertai LOL. Sebagai pelakon yang mahu kembali aktif, pada saya tawaran itu sangat bagus," katanya.

Selepas kembali membiasakan diri dengan industri seni, Sherry menjelaskan, dia tiada masalah menguruskan kerjayanya sendiri, tambahan pula dia hanya menumpukan perhatian pada satu-satu kerja.

"Saya tidak pandai ambil dua tiga kerja dalam satu masa. Tambah pula kebanyakan projek membabitkan saya adalah drama rantaian dan mengambil masa berbulan-bulan penggambaran.

"Sebagai contoh Keluarga Karaoke, penggambarannya mengambil masa empat bulan dan saya hanya memberi tumpuan kepada drama ini. Jadi saya dapat susun jadual kerja dengan baik kerana hanya ada satu penggambaran.

"Begitupun LOL bersikap terbuka, mereka boleh pinjamkan saya kakitangan jika diperlukan," katanya.

Kata Sherry, jika ada tawaran menjadi duta atau memerlukan dia meneliti kontrak, ramai rakan pengurus artis sedia menghulurkan bantuan.

"Mungkin juga kerana saya orang lama dan ramai kawan menyebabkan saya tidak mempunyai masalah membabitkan soal pengurusan artis atau kontrak. Kalau saya meminta bantuan, pasti mereka tidak teragak-agak untuk membantu. Dari sudut itu saya sangat bersyukur," katanya.

Keluarga Karaoke bakal disiarkan di saluran Mustika HD dan Astro Bella bermula 9 Februari ini, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:00 AM