HISYAM Hamid.
HISYAM Hamid.
Syanty Octavia Amry


Gembira kehadirannya dalam bidang lakonan di Malaysia diterima, pelakon Singapura, Hisyam Hamid bersyukur apabila setiap watak yang dijayakan memberi impak positif kepada orang ramai.

Selepas watak abang bomba lakonannya menerusi drama bersiri Abang Bomba I Love You menjadi sebutan dan popular, dia tidak mahu hanyut dengan populariti yang dikecapi.

Baginya, apabila sesuatu watak itu berjaya dan memberi kesan, ia adalah satu kepuasan buat pelakon sepertinya.

“Syukur saya melihat perjalanan karier lakonan seperti dipermudahkan. Biarpun pada awalnya saya bimbang hendak mencuba nasib di Malaysia.

“Nyata percaturan saya memberi banyak perkara yang positif. Namun, saya belum berasa berada di zon selesa sebaliknya akan terus berusaha dan memperbaiki mutu lakonan di samping disiplin diri supaya terus disenangi semua,” katanya.

Sering diberikan watak lelaki baik yang stereotaip, Hisyam berharap selepas ini dia dapat lari daripada watak yang sama.

Mengidamkan watak aksi mencabar dan selekeh, Hisyam berharap dapat mengembangkan lakonannya pada sisi berbeza selepas ini.

“Saya sering diberikan watak lelaki baik yang menjadi idaman wanita. Kalau boleh saya mahu cuba watak yang lebih mencabar selepas ini.

“Teringin juga melakonkan watak aksi, bukan kerana bosan dengan watak yang sering diterima tetapi sebagai pelakon pastinya saya mahu jadi serba boleh dan tidak kekok melakonkan apa juga watak yang diberikan,” katanya.

Terbaru, drama lakonan Hisyam berjudul Sayang Papa Saya Tak? boleh ditonton di Astro Ria tidak lama lagi.

Menerusi drama bersiri itu, Hisyam bergandingan dengan Emma Maembong.

“Untuk watak ini saya menjadi seorang bapa yang kehilangan isteri. Daripada lelaki yang kemas, selekeh dan kemudian berjambang, watak ini juga adalah cabaran baru untuk saya.

“Saya mempunyai beberapa karakter dalam cerita ini. Satu pengalaman menarik yang dapat saya lakukan.

“Harapan saya selepas ini akan diberikan lagi watak yang lebih mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:02 AM