Oleh Fardy Bungga

Petaling Jaya: Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas mengugut untuk menyebarkan video lucah seorang pelajar perempuan yang juga berusia 13 tahun yang dikenalinya menerusi aplikasi Wechat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, pelajar tingkatan satu itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Daerah Sepang, Selangor kira-kira 6.35 petang, semalam.

Menurutnya, suspek sering berhubung dengan mangsa melalui aplikasi Wechat dan WhatsApp dan dia dikatakan memaksa mangsa untuk menghantar gambar bogelnya.

"Pada pertengahan Jun 2015, suspek memaksa mangsa untuk menghantar video remaja perempuan itu berkelakuan lucah dengan mengusap puting payudara dan melakukan onani.

"Mangsa kemudiannya tidak lagi menghubungi suspek menyebabkan remaja lelaki itu marah dan mengugut akan menyebarkan video lucah sekiranya mangsa enggan melayan permintaannya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pelajar berkenaan kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Sekyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 3:07 PM