Suspek direman empat hari di Mahkamah Sesyen Parit. FOTO / Muhaizan Yahya
Suspek direman empat hari di Mahkamah Sesyen Parit. FOTO / Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop

PENUNTUT lelaki institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan polis selepas mencabul penuntut perempuan yang juga juniornya ketika mereka keluar dari kawasan kampus di Seri Iskandar menuju ke Gopeng, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang juga penuntut tahun pertama IPT itu keluar bersama suspek berusia 22 tahun untuk mengulang kaji di kawasan kampus berkenaan.

Difahamkan, suspek yang juga penuntut tahun akhir bidang kejuruteraan mekanikal kemudiannya memberitahu hendak keluar ke kedai serbaneka di luar kampus dan membawa mangsa bersama.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek kemudian membawa mangsa menaiki keretanya menghala ke kedai serbaneka di Batu Gajah sebelum mula mengeluarkan perkataan lucah.

Katanya, mangsa mula berasa curiga dan takut melihat kelakuan suspek yang mengeluarkan ayat lucah sebelum mendapati suspek membeli minyak bayi dipercayai bertujuan untuk melakukan onani.

“Sepanjang perjalanan suspek memaksa pengadu melakukan kelakuan tidak senonoh di dalam kereta yang sedang bergerak.

“Suspek kemudian dipercayai memberhentikan keretanya di tepi jalan dan terus melakukan perbuatan tidak senonoh kepada mangsa walaupun mangsa cuba mengelak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, suspek kemudian menghantar mangsa pulang ke kampus sebelum mangsa membuat laporan polis awal pagi semalam.

Katanya, suspek berasal dari Kajang, Selangor itu ditahan malam tadi selepas menyerah diri di Balai Polis Seri Iskandar dan semakan mendapati dia tiada rekod jenayah lampau serta negatif dadah.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 1:34 PM