Santiago: Lionel Messi (gambar) berdepan kegagalan lagi dalam pemburuannya untuk menikmati kejayaan bersama skuad kebangsaan Argentina.

Messi tidak kelihatan seperti seorang pemain bintang bersama Barcelona semalam selepas Argentina tewas kepada Chile menerusi penentuan penalti 4-1 di final Copa America, sekali gus melebarkan kemarau kejuaraan selama 22 tahun.

Pemain terbaik dunia sebanyak empat kali itu menjaringkan satu-satunya gol tunggal pada penentuan penalti, tetapi gagal meledak gol sepanjang 90 minit permainan serta pada masa tambahan.

Kegagalan semalam hadir kurang dari setahun selepas dia turut gagal membantu Argentina menjulang Piala Dunia, sekali gus menambahkan lagi kritikan ramai yang sebelum ini menganggap Messi gagal beraksi dengan baik ketika bersama skuad kebangsaan berbanding bersama kelab.

Messi membantu Argentina memenangi Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2005, begitu juga pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008, tetapi masih gagal membantu skuad senior menikmati kejayaan.

Sebelum muncul naib juara Piala Dunia di Brazil tahun lalu, Messi gagal membantu Argentina melangkah lebih dari aksi suku akhir.

Dia turut berada dalam skuad ketika Argentina tewas pada final Copa America 2007 kepada Brazil sebelum disingkirkan Uruguay pada suku akhir di tempat sendiri empat tahun selepas itu.

“Kekalahan pada aksi final tidak akan mengubah apa yang sudah disumbangkan Messi selama ini.

“Jika Argentina berjaya menguasai perlawanan, Messi pasti mampu melakukan yang terbaik dan sebab itulah dia pemain terbaik dunia,” kata jurulatih Chile berasal Argentina Jorge Sampaoli. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 11:01 AM