MESSI (depan) kelihatan sugul ketika menerima pingat.
MESSI (depan) kelihatan sugul ketika menerima pingat.
AFP

Buenos Aires: Argentina digemparkan dengan perdebatan mengenai pemain bintang Lionel Messi yang hancur luluh hatinya selepas kalah pada final Copa America dan mungkin memencilkan diri.

Sesetengah pemerhati di negara kelahirannya menyatakan kritikan terhadap Messi mungkin memaksanya berehat seketika daripada tugasan pasukan kebangsaan.

Pemain bola sepak genius berusia 28 tahun itu meninggalkan padang dalam keadaan pucat lesi selepas Argentina tewas Copa America kepada Chile menerusi penentuan sepakan penalti di Santiago, hujung minggu lalu.

Keadaan itu mengulangi situasi final Piala Dunia tahun lalu apabila Jerman menundukkan Argentina selepas masa tambahan. Ketika itu ‘Leo’ meninggalkan padang dalam tangisan.

Messi kali pertama mengalami kekalahan utama pada 2007 apabila Argentina tewas 0-3 kepada musuh utama Brazil pada final Copa.

Messi akhirnya mengepos kenyataan dalam akaun Facebook lewat kelmarin.

“Tiada apa yang lebih menyakitkan dalam bola sepak berbanding kalah final,” tulisnya.

“Tapi saya tetap mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang sering menyokong kami begitu juga ketika saat sukar.”

Di sebalik kejayaan besarnya bersama Barcelona, Messi kini mengalami saat sukar bersama negara yang tidak memenangi kejuaraan utama selama 22 tahun.

Media Sepanyol melaporkan Messi enggan menerima trofi pemain terbaik kejohanan itu. Trofi itu ditarik balik sebelum majlis penyampaian hadiah di Santiago.

Messi dan bintang Argentina lain dikritik hebat media negara itu kerana persembahan mereka. Ahli keluarganya turut diejek penyokong Chile pada perlawanan itu, menurut media Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:58 AM