ANI membawa peralatan dandanan rambut ke rumah pelanggan di Putrajaya.
ANI membawa peralatan dandanan rambut ke rumah pelanggan di Putrajaya.
PELANGGAN tentunya selesa kerana berada di rumah sendiri.
PELANGGAN tentunya selesa kerana berada di rumah sendiri.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Selepas menyediakan semua keperluan yang perlu dibawa ke rumah pelanggan, Ani Jaafar menyemak semula jadual kerja pada hari itu. Ini bagi memastikan dia dapat sampai ke rumah pelanggan mengikut waktu janji temu yang sudah diatur.

Kebiasaannya maklumat lengkap sudah diterima awal daripada pengasas My Saloon Miya Afandi untuk memudahkannya menyediakan peralatan sesuai dengan rawatan.

Walaupun berpengalaman hampir 14 tahun dalam bidang dandanan rambut dengan membuka salun sendiri di Kajang, peluang yang diberikan Miya untuk bertugas sebagai pendandan rambut bergerak sangat menggembirakan. Ini kerana ia membabitkan satu tugas baru dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Jika di salun saya hanya menunggu pelanggan datang membuat rawatan mengikut masalah mereka, tetapi sebagai pendandan rambut bergerak, saya perlu mengunjungi satu rumah ke rumah yang lain. Semua kelengkapan mendandan juga harus dibawa bersama bagi memastikan keinginan pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.

Memulakan tugas sebagai pendandan bergerak sejak dua bulan lalu, Ani sudah semakin biasa dengan tugas yang dilakukannya kini. Malah, dia berasa wanita sangat selesa apabila ­keinginan untuk kelihatan cantik dan anggun dapat dipenuhi terutama apabila dilakukan di rumah mereka sendiri. Sebab itu ada yang pada mulanya hanya ingin memotong rambut sebaliknya menambah kepada cucian atau rawatan kelemumur.

“Begitu juga apabila melihat saya datang ke rumah, ada pelanggan meminta untuk memotong rambut ahli keluarga lain seperti rambut anak atau ibu juga jiran yang ada bersama. Jika jadual tidak terlalu padat seboleh-bolehnya saya berusaha memenuhi permintaan mereka,” ujarnya.

Bagi Miya, idea untuk mengetengahkan perkhidmatan salun bergerak tercetus selepas melahirkan cahaya mata pertama. Dia yang gemar mengunjungi salun setiap bulan mengakui kekangan utama wanita adalah masa, anak yang perlu ditinggalkan serta jarak jauh di antara salun dan rumah.

“Bagi wanita yang sering ke salun, mereka terpaksa menunggu lama. Kadang-kadang hampir separuh hari untuk mendapatkan gaya rambut idaman. Bagi yang bujang sudah tentu ia tidak menjadi masalah tetapi berbeza bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil sangat sukar untuk meninggalkannya bersama suami.

“Oleh kerana saya turut menghadapi masalah sama, saya mula terfikir menyelesaikan masalah wanita dengan menyediakan salun bergerak. Dengan ini pelanggan tidak perlu bimbang untuk mendapatkan khidmat dandanan rambut kerana mereka hanya perlu menelefon, memilih tarikh dan masa sesuai. Dengan mengunjungi ke rumah pelanggan, mereka merasakan diri mereka dihargai. Ini kerana selain menjalani rawatan rambut, pelanggan masih boleh bersama

anak di rumah. Paling penting, My Saloon menyediakan khidmat pendandan wanita Islam bagi memberikan keselesaan kepada mereka,” katanya.

Menurut Miya, My Saloon menyediakan empat sesi rawatan setiap hari mengikut fleksibiliti pelanggan iaitu pada waktu pagi, tengah hari, petang dan malam. Pelanggan pula pastinya mendapat layanan istimewa kerana pendandan tidak perlu tergesa-gesa

ke tempat lain. Lebih penting ia sesuai untuk mereka yang tidak boleh bergerak, orang kelainan upaya dan juga mereka yang sudah tua.

Pelanggan juga boleh bersantai di rumah sambil menonton televisyen, menjaga anak atau memasak. Ada juga yang sanggup menyediakan pelbagai hidangan disebabkan seluruh ahli keluarga menggunakan perkhidmatan My Saloon.

“Jika kami terpaksa melakukan servis untuk satu keluarga terdiri daripada empat hingga enam orang, biasanya tiada pelanggan lain diambil. Ini bagi memastikan mereka mendapat perkhidmatan berkualiti, selesa dan memuaskan,” katanya.

Selain Ani, My Saloon mempunyai tiga pendandan lain yang bekerja secara sepenuh masa. Kesemuanya pendandan tempatan yang mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun pengalaman dalam bidang dandanan rambut. Mereka diberi kebebasan untuk menyediakan perkhidmatan dalam bidang ini dan Miya hanya memantau dari segi kualiti, kekemasan dan teknik yang digunakan.

“Kebiasaannya pelanggan menyatakan rawatan yang diinginkan. Kemudian saya memberitahu kepada pendandan agar mereka bersedia dengan peralatan yang akan dibawa. Saya hanya akan pergi ke rumah pelanggan selepas semuanya siap bagi memeriksa khidmat yang diberikan selain menjalinkan hubungan silaturahim. Bayaran pula hanya perlu dijelaskan sebaik saja rawatan selesai,” katanya.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Universiti Sains Malaysia, Miya yang menamatkan pengajian pada 2014 terus menjalankan per­niagaan My Saloon kerana merasakan jiwanya lebih kepada perniagaan. Lantaran suami juga mempunyai perniagaan sendiri, ini membolehkan mereka saling berkongsi minat dan cita-cita sama untuk berjaya.

“My Saloon tidak memerlukan saya mempunyai pejabat atau salun sendiri. Saya hanya perlu mengiklankannya di Facebook untuk mendapatkan pelanggan. Dengan anak yang masih kecil, saya tidak perlu bimbang mengenai penjagaannya kerana saya boleh menguruskan anak sambil melayan pelanggan. Saya juga boleh menjalankan perniagaan di mana saja dan setiap masa,” katanya gembira.

Untuk mereka yang ingin mendapatkan potongan rambut idaman sempena Syawal, semua pendandan bersedia memenuhi permintaan pelanggan tanpa mengira waktu. Dengan bergerak mengunjungi mereka, wanita kini tiada alasan untuk tidak kelihatan cantik kerana semua hanya di hujung jari.

Mempunyai ramai pelang­gan yang kebanyakannya suri rumah sepenuh masa, ini membuktikan perkhidmatan My Saloon mampu menyelesaikan masalah wanita yang tidak boleh ke salun untuk mendandan rambut dan pada masa sama menjaga anak di rumah.

Harga dikenakan juga berpatutan termasuk ­pengangkutan dan rawatan yang diambil. Antara perkhidmatan disediakan termasuk memotong rambut, mencuci, meluruskan rambut, rawatan kelemumur, inai rambut serta rawatan kutu untuk kanak-kanak dan dewasa. Untuk Ramadan, ia dibuka seperti biasa namun pelanggan boleh membuat temu janji tiga hari lebih awal bagi mengelak kehabisan slot. Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Mysaloon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:25 AM