MAHU membuka pusat latihan mendandan rambut suatu hari nanti.
MAHU membuka pusat latihan mendandan rambut suatu hari nanti.
DIDANDAN rambut sebelum sesi penggambaran.
DIDANDAN rambut sebelum sesi penggambaran.
MYSSRITE (tiga dari kanan) bersama kakitangan di salun miliknya.
MYSSRITE (tiga dari kanan) bersama kakitangan di salun miliknya.
Siti Zarinah Sahib

Sejak kecil dia sememangnya bijak bergaya. Sering mengikut ibu mengunjungi salun sekitar Kuala Lumpur, melihat wanita berdandan cantik menyebabkan hatinya terpesona. Sungguhpun ketika itu masih berada di sekolah rendah, namun keinginan untuk kelihatan cantik dan menarik sudah ada dalam diri.

Setiap kali menjadi peneman setia ibu menjalani rawatan rambut, dia turut mendandan rambut sendiri. Sifat ini terbawa-bawa sehingga remaja apabila rambut menjadi pilihan utama dalam senarai penjagaan diri selepas wajah.

Lama-kelamaan minat bergelar usahawan dan membuka salun dandanan rambut mula menebal dalam dirinya. Namun impian itu tidak dapat direalisasikan apabila ayah meminta Myssrite Nordin menyambung pengajian dan memiliki ijazah sebagai bekalan untuk masa depan.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan pengurusan pejabat, Myssrite bekerja dalam sektor swasta. Namun keinginan tidak pernah padam untuk membuka salun sehinggalah pada Januari lalu dia menyatakan hasrat itu kepada ibunya.

“Impian membuka salun sudah lama ada. Apabila saya nyatakan kepada ayah dia kurang bersetuju kerana kami bukan dalam keluarga peniaga. Sedikit demi sedikit wang ketika bekerja dalam sektor swasta saya kumpul untuk dijadikan modal permulaan. Saya juga mengambil kursus dandanan sebagai persediaan awal dan mula merencana konsep salun yang diinginkan.

“Alhamdulillah pada saat usia menginjak 30 tahun barulah keluarga merestui mungkin kerana merasakan ia masa sesuai, saya juga semakin matang mengendalikan perniagaan yang bagi mereka memerlukan kekuatan mental dan emosi,” kata anak kelima daripada enam beradik ini.

Bertempat di Ampang, mengambil sempena nama sendiri, salun Ammyssrite Hairdressing mula beroperasi berkonsepkan pusat sehenti apabila menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk wanita dan lelaki.

“Sengaja saya mencetuskan kelainan dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pelanggan. Ia mengambil kira kawasan Ampang dengan pelanggan pelbagai kaum dalam dan luar negara, saya harus memastikan dapat memenuhi keinginan mereka.

“Selain rambut, salun Ammyssrite menyediakan khidmat solekan, rawatan kuku tangan dan kaki serta pembuangan bulu pada badan. Malah dengan permintaan tinggi pekerja juga mampu ke rumah pelanggan bagi memberikan layanan eksklusif kepada mereka,” katanya.

Bijak dalam merencana perjalanan perniagaannya, ujar Myssrite, sebelum membuka salun dia membuat kajian dari pelbagai sudut. Malah pengalaman mengunjungi salun ketika kecil dan remaja membuatkan dia faham apa yang diinginkan pelanggan.

Selain itu lokasi turut memainkan peranan penting. Oleh kerana pelanggan yang datang daripada pelbagai bangsa, menyediakan pekerja terlatih dan berpengalaman sememangnya sangat perlu.

“Setakat ini, saya mempunyai empat pekerja, tiga lelaki dan seorang wanita daripada pelbagai bangsa. Pelanggan pula dari Korea, Iran, Melayu, Cina dan India, jadi pekerja yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris serta terlatih dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Ini antara rahsia perniagaan mampu bertahan iaitu menyediakan khidmat pelanggan dengan layanan memuaskan memenuhi kehendak mereka. Bagi saya, pelanggan menjadi keutamaan dan harus diberikan layanan sebaiknya,” katanya.

Cabaran sentiasa ada

“Tipu jika saya katakan semuanya manis-manis belaka dalam perniagaan. Sebagai usahawan, untuk mengekalkan komitmen serta keuntungan syarikat adalah paling sukar. Pada tahun pertama memang tiada keuntungan, itu antara resam orang berniaga. Tetapi kena sabar, kerana ia bukan semudah disangka untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai.

“Tahun pertama masa untuk belajar dari segi promosi, pemasaran dan perkhidmatan. Tahun kedua, penilaian mengenai kekurangan dan kelebihan kemudian memperbaikinya. Apabila kita memberi apa yang diinginkan pelanggan dalam suasana yang cukup selesa sudah pasti mereka akan datang lagi dan menjadi pelanggan setia,” katanya.

Salun yang memberi tumpuan kepada rambut menyediakan pelbagai rawatan seperti memotong dan mencuci, rawatan rambut gugur, mewarna rambut, menyelesaikan masalah kelemumur, melurus dan keriting rambut. Pada masa kini, wanita terutama bertudung menghadapi masalah rambut gugur dan kelemumur. Menyediakan produk berkualiti dan berkesan mampu menyelesaikan masalah pelanggan.

“Apa yang penting pelanggan harus percaya dan menjalani rawatan seperti yang disyorkan,” katanya yang membuka kedai bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

Pada masa depan, wanita jelita ini memasang impian ingin membuka pusat latihan dandanan rambut serta pusat kecantikan dan spa.

“Namun biarlah saya bertatih dulu perlahan-lahan mengukuhkan nama Ammyssrite Hairdressing sebelum melebarkan sayap dengan membuka cawangan lain. Pelan jangka panjang sememangnya sudah ada. Saya mahu bergerak pantas dan menjadikan salun Ammyssrite antara yang dikenali di Lembah Klang dan Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 5:50 AM