Gabriel Jesus (depan) dilayangkan kad merah pada aksi final Copa America, bulan lalu. FOTO Agensi
Gabriel Jesus (depan) dilayangkan kad merah pada aksi final Copa America, bulan lalu. FOTO Agensi
Agensi

BINTANG Brazil, Gabriel Jesus digantung dua bulan bagi perlawanan antarabangsa oleh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) kerana kelakuannya ketika aksi final Copa America, bulan lalu.

Jesus menjaringkan gol dan membantu menghasilkan satu lagi gol sebelum diperintah keluar padang dalam perlawanan yang menyaksikan Brazil mencatat kemenangan ke atas Peru, 3-1 di Maracana pada 7 Julai lalu.

Penyerang Manchester City itu, membantah keras keputusan pengadil perlawanan selepas menerima kad kuning kedua sebelum mendesak tayangan VAR dan dilihat menangis di kawasan terowong menuju ke bilik persalinan pemain.

CONMEBOL mengumumkan dua bulan penggantungan kepada Jesus semalam, dalam kenyataan badan induk bola sepak Amerika Selatan itu “pemain berkenaan tidak dibenarkan beraksi untuk perlawanan rasmi dan aksi persahabatan bersama pasukan kebangsaannya dalam tempoh yang ditetapkan.”

Jesus turut didenda $30,000 (RM126,189.00) dan dijangka terlepas aksi persahabatan menentang Colombia dan Peru bulan depan, bagaimanapun dia mempunyai tujuh hari untuk membuat rayuan selepas dikenakan hukuman itu.

Sementara itu, tuan rumah Copa dan juara kejohanan Brazil didenda $15,000 (RM63,094.50) dan diberi amaran keras diatas kelakuan penyokong mereka.

Sebelum ini, CONMEBOL turut mendenda dan menggantung bintang Argentina, Lionel Messi dan Chile, Gary Medel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 10:39 AM