KELETAH Ebrahim menjadi penghibur buatnya.
KELETAH Ebrahim menjadi penghibur buatnya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


“Saya masih naik turun mahkamah untuk selesaikan masalah rumah tangga. Namun, saya juga tak tergesa-gesa nak akhirkan apa-apa. Kalau boleh saya nak bebas dan teruskan kehidupan, tapi tak boleh terlalu cepat kerana membabitkan ramai pihak.

“Yang nyata saya kena sabar dan banyak berdoa agar perkara ini dipermudahkan. Syukur saya kini melalui hidup dengan tenang. Walaupun ada kepayahan, hidup perlu diteruskan. Ini semua ketentuan Allah.”

Tenang ayat dituturkan penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 36, mengulas mengenai kemelut rumah tangganya dengan Zaahier Stanley, 39.

Pasangan ini berkahwin pada 15 Februari 2013 di kediaman keluarga Farah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ebrahim Owais yang kini berusia 15 bulan.

Farah kini memanfaat­kan kehadiran Ramadan dengan aktif dalam program kebajikan. Tahun lalu dia mengehadkan pembabitannya kerana baru melahirkan Ebrahim.

“Sekarang Ebrahim pun semakin membesar dan boleh berjalan, senanglah nak bawa ke mana-mana. Alhamdulillah dia seorang anak yang baik dan pandai berdikari.

“Ebrahim boleh bermain seorang diri dan paling suka tengok program keagamaan. Dia suka menonton program mengaji dan Indahnya Iman di saluran Astro Qasis. Saya boleh buat banyak perkara kerana dia takkan mengganggu saya,” katanya.

Farah juga kerap membawa Ebrahim ke majlis ilmu dan ia bukan masalah besar buatnya.

“Memang saya akan bawa dia sekali kerana kami ting­gal berdua. Kecuali pada waktu malam atau program ‘outdoor’ saya kenalah tinggalkan dia dengan emak.

“Bagaimanapun kadang-kadang emak pun ada kerja sendiri dan saya terpaksa bawa Ebrahim bersama. Mujur ada kawan-kawan yang boleh menjaganya pada majlis sebegitu.

“Saya sanggup bersusah payah demi ilmu. Mulanya memanglah susah tapi lama kelamaan dah jadi biasa,” katanya.

Tanpa berselindung, Farah mengakui tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada wang simpanan.

Namun, dia merancang membuka butik menjual pakaian Muslimah tidak lama lagi.

“Saya sendiri akan reka pakaian itu nanti. Saya juga ada pereka fesyen sendiri terdiri daripada peguam syariah dan anak saudara sendiri yang akan menghasilkan pakaian Muslimah menarik.

“Mereka banyak bagi input kepada saya dalam perniagaan ini. Saya lebih suka berkongsi idea dan tenaga kerana kalau nak buat apa-apa biarlah secara berjemaah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:00 AM