ZIDANE
ZIDANE
AFP

Madrid: Penampilan sulung Zinedine Zidane selaku jurulatih Real Madrid berakhir dengan cemerlang apabila Gareth Bale meledak hatrik ketika membantu pasukannya menang besar 5-0 ke atas Deportivo la Coruna, awal pagi semalam.

Kemenangan itu membolehkan Madrid merapatkan jurang kepada dua mata dengan Barcelona selepas juara Eropah itu menang 4-0 ke atas Granada pada perlawanan terdahulu, hasil hatrik Lionel Messi.

Kehadiran Zidane dialu-alukan penyokong selepas beliau menggantikan Rafael Benitez yang dipecat awal minggu lalu dan Madrid jarang digugat Deportivo selepas Karim Benzema memberikan gol pendahuluan pada minit ke-15.

Bale tampil mencuri tumpuan menerusi hatrik kedua dalam empat perlawanan sebelum Benzema menghasilkan gol kelima ketika masa kecederaan.

“Setiap kali menang, anda perlu gembira,” kata Zidane. “Apa yang paling saya sukai sikap ditunjukkan pemain. Bukan mudah untuk menjaringkan lima gol ketika menentang pasukan seperti Deportivo la Coruna.”

Walaupun bermain dalam cuaca agak buruk di ibu negara Sepanyol itu, Madrid menerima sokongan lebih baik berbanding ketika dibimbing Benitez dan nama Zidane kerap dilaungkan penyokong.

Pemain Deportivo Lucas Perez hampir menyentap keseronokan Zidane tetapi cubaannya untuk menghasilkan gol ke-13 peribadi musim ini ditepis keluar penjaga gol Keylor Navas.

Benzema menghasilkan gol pertama sejak pasukan dikendalikan Zidane menerusi jarak dekat walaupun pemain Deportivo mendakwa bintang Perancis itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Bale menanduk masuk gol kedua tidak lama kemudian dan menamatkan semangat juang Deportivo apabila menghasilkan gol ketiga hasil hantaran lintang Cristiano Ronaldo, empat minit sebelum babak pertama tamat.

Bintang Wales itu melengkapkan hatrik apabila melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Toni Kroos sebelum Benzema menghasilkan gol kelima pada hujung permainan.

Sementara itu, di Nou Camp, Messi menghasilkan hatrik pertamanya musim ini sekali gus membuatkan namanya semakin disebut-sebut untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 8:02 AM