AFP

Barcelona: Barcelona perlu menunggu hampir tiga bulan untuk mempamerkan kehebatan pemain baru Luis Suarez yang melakar rekod perpindahan selepas tersisih pada awalnya akibat digantung kerana menggigit Giorgio Chiellini pada Piala Dunia.

Akhirnya apabila Suarez diturunkan untuk bergandingan dengan dua lagi bintang Amerika Selatan, Lionel Messi dan Neymar, terdapat beberapa halangan.

Penampilan pertama Suarez pada aksi pertama El Clasico menentang Real Madrid menyaksikan kelab Catalunya itu tewas 1-3.

Lebih buruk penampilan Suarez di laman sendiri berakhir dengan kekalahan mengejut kepada Celta Vigo, seminggu kemudian. Pemain Uruguay itu mengambil masa enam perlawanan untuk meledak jaringan iaitu menentang kelab kerdil dari Cyprus, APOEL Nicosia.

Keraguan mula menjelma adakah tiga pemain itu serasi? Adakah sepatutnya Barca menggunakan peruntukan untuk memperkuatkan bahagian yang lemah?

Lima bulan berlalu, persoalan itu sudah dilupakan.

Kemenangan dalam 17 daripada 18 perlawanan meletakkan Barca mempunyai kelebihan satu mata mengatasi Madrid dan menjadikan mereka pilihan untuk melebarkan kelebihan kepada empat mata apabila juara Eropah itu bertandang ke Nou Camp, awal pagi esok.

Trio Messi, Suarez dan Neymar memberikan pulangan lumayan apabila menghasilkan 82 gol dan 47 “assist” sehingga kini dan Barca berada dalam landasan tepat untuk mengulangi kejayaan tiga piala ketika musim pertama Pep Guardiola bergelar pengurus.

Malah mereka sudah mengatasi tiga serangkai Madrid, Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema.

Kehadiran Suarez dan Neymar mencipta ruang untuk Messi mendapat kembali tahap permainan yang menjadikan dirinya Pemain Terbaik Dunia sebanyak empat kali antara 2009 hingga 2012.

“Bagi kebanyakan orang, dia adalah pemain terbaik dunia dengan semua aksi yang dilakukannya atas padang. Dia melakukan perkara yang pemain lain tidak mampu,” kata Suarez.

Messi berada pada tahap terbaik ketika Barca mengatasi Manchester City pada pertengahan minggu untuk melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali kelapan berturut-turut.

Kepantasan pemain Argentina itu memecut mengatasi James Milner menjadi viral dan menyebabkan Guardiola kagum ketika beliau berkunjung kali pertama ke Nou Camp sejak meninggalkan kelab itu tiga tahun lalu.

“Ada kalanya apabila dia melorongkan bola, anda tidak menjangka kerana dia terlalu lincah,” jelas Suarez.

“Anda hanya perlu menikmatinya dan memanfaatkan kelebihan kerana berpeluang beraksi dengan pemain pada tahapnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:41 AM