Saya berumur 27 tahun dan masih bujang. Ada beberapa perkara yang menjadi kemusykilan saya terutama mengenai kitaran haid.

Saya pernah mengalami kitaran haid yang terpendek iaitu 28 hari dan terpanjang 45 hari. Kebiasaannya kitaran haid saya melebihi 30 hari. Saya risau sekiranya masalah ini menyebabkan saya sukar hamil selepas mendirikan rumah tangga kelak.

Adakah keadaan ini menunjukkan saya mempunyai masalah kesuburan dan sukar hamil? Adakah pengeluaran lendir jernih seperti putih telur itu petanda waktu subur memandangkan kitaran haid saya berubah-ubah dan agak sukar untuk mengira hari subur?

Adakah sebarang pemeriksaan yang saya boleh jalani sebelum berkahwin untuk mengetahui masalah dan tahap kesuburan saya? Apakah yang boleh saya lakukan supaya kitaran haid saya normal?

Untuk makluman doktor, saya akan mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan dan terlalu risau memikirkan perkara ini.

Ieqa,

Kuala Lumpur.

Wanita subur ovari biasanya mempunyai bilangan kitaran haid yang tetap setiap bulan, jika tidak pun mungkin berbeza kira-kira seminggu saja. Pengeluaran lendir jernih adalah kesan hormon estrogen terhadap mukus yang dihasilkan oleh pintu rahim.

Hormon estrogen pula dihasilkan oleh telur yang sedang membesar, maka secara amnya wanita yang mengalami keadaan sedemikian dikatakan subur walaupun sebenarnya ia bukanlah semestinya begitu.

Ada kaedah pemeriksaan kesuburan sesuai dilakukan ke atas wanita yang sudah pun menjalani hubungan seks. Anda mungkin boleh memilih menjalani ujian darah hormon berkait dengan kesuburan saja terlebih dahulu, tetapi ia tidak dapat memberi banyak maklumat untuk ­membolehkan doktor membuat kesimpulan penuh.

Sekiranya anda belum pernah melakukan hubungan seks penetratif, eloklah anda menunggu sehingga apabila anda sudah berumahtangga yang hanya setahun saja dari sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:00 AM