SEBARANG kaedah semula jadi untuk merancang kehamilan tidak disyorkan.
SEBARANG kaedah semula jadi untuk merancang kehamilan tidak disyorkan.
Intan Mas Ayu Shahimi

MEMILIKI anak selepas berkahwin adalah impian bagi setiap pasangan. Tidak kira sama ada dikurniakan bayi perempuan, lelaki atau kembar, kehadiran mereka pastinya mewarnai hubungan dan mengeratkan lagi ikatan suami isteri.

Namun realitinya bukan semua wanita mampu untuk hamil sebaik melangkah ke alam rumah tangga. Corak kehidupan hari ini memperlihatkan betapa ramai pasangan yang terpaksa menanti untuk memiliki zuriat sendiri.

Ada yang perlu menunggu setahun dua untuk mendengar khabar gembira. Bahkan ada juga yang terpaksa menanti lima, sembilan dan mungkin belasan tahun untuk merasai nikmat bergelar ibu bapa.

Dalam tempoh itu, mereka terpaksa berdepan pertanyaan, sindiran dan cadangan mencuba pelbagai rawatan atau kaedah alternatif di pelbagai tempat. Segelintir pasangan mungkin tidak dapat lari daripada tipu muslihat pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, bagi pasangan yang disahkan mempunyai masalah kesihatan atau berdepan kekangan untuk hamil, mungkin tekanan dihadapi berlainan. Setidak-tidaknya, mereka boleh berusaha mencuba rawatan bersesuaian atau melalui kaedah alternatif untuk mendapatkan zuriat.

Namun bagi pasangan yang disahkan normal, sihat dan memiliki peluang untuk hamil, penantian panjang lebih mendera emosi. Persoalannya, mengapa terlalu sukar untuk hamil?

Selain mengawal tekanan emosi, menjalani gaya hidup sihat, mengelak obesiti dan mendapatkan rehat serta tidur berkualiti, setiap pasangan perlu mendapatkan ilmu berkaitan proses ovulasi dan tempoh subur untuk mereka merancang kehamilan.

Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, ovulasi adalah proses pelepasan ovum atau benih wanita daripada kilang telur ovari.

Ia berlaku hasil daripada perubahan hormon LH (peluteinan) dan FSH (perangsang folikel) dalam badan wanita yang menyebabkan perubahan bukan saja pada ovari bahkan pada dinding rahim.

“Perubahan pada dinding rahim penting untuk memastikan wanita bersedia menempuh fasa kehamilan. Apabila persenyawaan berlaku, proses penempelan akan menyusul. Tetapi jika tiada persenyawaan, dinding rahim yang tebal kesan perubahan hormon ini akan luruh dan keluar sebagai darah haid,” katanya.

Jelas Dr Muhammad Izzat, wanita yang mengalami kitaran haid normal (28 hari) lazimnya melalui tempoh ovulasi sekitar hari ke-14. Keadaan ini terjadi kira-kira 36 jam selepas hormon LH meningkat secara tiba-tiba.

“Kitaran haid normal adalah antara 24 hingga 38 hari. Ini bermakna, anggaran hari ke-14 ini masih tidak tepat. Ia tidak boleh dipakai untuk semua wanita, lebih-lebih lagi jika kitaran haid mereka tidak teratur.

“Jika kitaran haid mereka tepat 28 hari sekalipun, tempoh ovulasi masih boleh berubah. Ini kerana setiap wanita mempunyai waktu ovulasi tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan orang lain,” katanya.

Mengesan ovulasi

Persoalan ini paling kerap diajukan wanita dan pasangan setiap kali mereka mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat doktor untuk merancang kehamilan. Namun demikian, masih tidak ramai yang berjaya hamil sekalipun berupaya mengesan ovulasi.

Kata Dr Muhammad Izzat, ovulasi sering dikaitkan dengan peningkatan suhu badan sebanyak 0.5 darjah Celsius. Ini bermakna wanita boleh mengukur perubahan suhu tubuh mereka dengan termometer untuk mengesan waktu subur.

“Cara yang lain adalah dengan merekodkan kitaran haid pada kalendar. Jika kitaran haid normal, kemungkinan besar wanita boleh mengalami ovulasi pada hari ke-14 sebelum datang haid.

“Bagaimanapun, kebanyakan wanita tidak mempunyai tanda ovulasi yang menonjol. Ada sesetengah daripadanya mengalami gejala ovulasi seperti kejang pada bahagian bawah perut, keluar lendir berlebihan daripada faraj yang kurang likat, payudara terasa bengkak dan sakit, perubahan pada selera makan serta mood berubah-ubah.

CONTOH peringkat murkus serviks.
CONTOH peringkat murkus serviks.

“Buat sendiri ujian ringkas ini di rumah. Cuba masukkan jari bersih ke dalam faraj dan keluarkan sedikit lendir yang ada. Kembangkan lendir berkenaan di antara dua jari. Sekiranya lendir itu melekit, banyak dan boleh dikembangkan dengan mudah seperti putih telur serta kurang likat, ia boleh jadi petanda mudah untuk menentukan tubuh dalam keadaan subur,” katanya.

Jelas Dr Muhammad Izzat, wanita yang berhasrat untuk hamil perlu memberi perhatian terhadap tempoh kitaran haid bagi mengenal pasti waktu subur. Kemudian, lihat juga tanda perubahan hormon pada diri.

“Catat kitaran haid secara teratur. Bagi pasangan yang mahu mendapatkan cahaya mata, disarankan supaya mereka melakukan hubungan kelamin sekitar hari ke-14 sebelum kitaran haid seterusnya tiba.

“Tetapi, bagi pasangan yang mahu merancang kehamilan, hubungan kelamin tanpa sebarang alat pencegah kehamilan perlu dielakkan dalam tempoh ini. Sekali lagi, diingatkan, ini hanyalah anggaran. Sebarang kaedah semula jadi untuk merancang kehamilan adalah tidak tepat dan tidak disyorkan,” katanya.

Ketika ini kata Dr Muhammad Izzat, ada banyak aplikasi telefon bimbit yang membolehkan pengguna mengira dan mencatatkan kitaran haid pada kalendar maya. Ia praktikal untuk digunakan terutama bagi memudahkan catatan haid.

“Kita selalu menggalakkan wanita supaya mereka sentiasa mengambil tahu dan peka terhadap kitaran haid masing-masing. Untuk mereka yang mempunyai kitaran haid normal dan teratur, anggaran hari dan masa ovulasi dapat membantu dalam proses perancangan keluarga.

HARI berkaitan ovulasi.
HARI berkaitan ovulasi.

“Kiraan dan jangkaan yang diberi ini hanya untuk panduan. Jika masih sukar untuk hamil dengan cara semula jadi ini, dapatkan nasihat doktor yang bertauliah bagi mengesan punca susah hamil dan rawatan selanjutnya.

“Penting diingatkan kepada wanita bahawa kaedah merancang dan menjarakkan kehamilan secara semula jadi tidak disyorkan oleh doktor kerana keberkesanannya berbeza antara individu. Ada banyak kaedah merancang kehamilan lain yang benar-benar berkesan. Sebaiknya, dapatkan nasihat doktor untuk kaedah perancangan keluarga yang sesuai,” katanya.

9 CARA UNTUK HAMIL

Ovulasi adalah salah satu faktor utama dalam kesuburan. Setiap wanita (haid normal) mempunyai kira-kira enam hari dalam kitaran haid yang dipanggil waktu subur. Ketika ini, peluang untuk hamil lebih tinggi.

Jika seseorang itu mempunyai masalah untuk hamil, haid tidak tetap atau tidak dapat bersama suami dengan kerap, penting untuk mengetahui tempoh subur dirinya.

Bagaimanapun, menetapkan masa untuk seks supaya berlaku pada hari yang subur boleh membuatkan wanita lebih tertekan. Yakinlah seks yang kerap sepanjang kitaran haid sudah cukup untuk meningkatkan peluang hamil.

Berikut beberapa tip yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesuburan bagi pasangan yang sudah tidak sabar untuk menimang cahaya mata.

1. Pastikan berat bersesuaian dengan ketinggian. Cuba kira BMI (body mass index) anda. Pastikan BMI berada dalam lingkungan 19 hingga 24. Sekiranya terlalu kurus atau mempunyai berat badan berlebihan, ia boleh mengurangkan tahap kesuburan anda.

2. Amalkan gaya hidup sihat. Kedua-dua pasangan perlu mengelakkan tabiat merokok atau makan berlebihan. Cuba bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

3. Lakukan hubungan seks sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Cubalah posisi berlainan untuk mengelakkan rasa bosan. Perlu diingat bahawa tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan posisi seks tertentu boleh meningkatkan kadar kehamilan.

4. Perhatikan diet anda. Pastikan anda mengambil makanan seimbang. Lebihkan hidangan tinggi serat, sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna-warni (kuning, oren atau merah). Pastikan anda mengambil sumber protein dan kalsium.

5. Ambil asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil. Asid folik boleh membantu meningkatkan kesuburan dan mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang bayi.

6. Ketahuilah waktu subur. Ini bersesuaian bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur. Ketahui waktu subur untuk meningkatkan peluang hamil. Muat turut aplikasi bersesuaian di telefon bimbit dan kemas kini mengikut keperluan. Ada banyak aplikasi yang memaparkan kalendar dan berupaya membantu anda mengira waktu subur tanpa perlu bersusah payah mencatat nota di kertas.

7. Elakkan atau kurangkan kopi. Cuba tukar kepada teh hijau yang mengandungi antioksidan dan elok untuk meningkatkan kesuburan.

8. Sentiasa kekal positif. Cuba kurangkan tekanan. Amalkan zikir dan rutin kecergasan bersesuaian.

9. Berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat. Bawa sekali catatan kitaran haid untuk rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:06 PM