Oleh Dr Adilah Ahmat

Saya berumur 24 tahun dan akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Saya dan suami merancang untuk tidak memiliki anak pada tempoh awal perkahwinan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian saya yang masih berbaki kira-kira dua tahun dari tarikh pernikahan kami.

Apakah cara perancangan keluarga yang terbaik dan selamat untuk saya ambil bagi menangguhkan zuriat?

Adakah pengambilan pil perancang boleh mengganggu tahap kesuburan saya? Bilakah waktu yang sesuai untuk saya mula ambil? Menurut pandangan doktor, apakah jenama yang doktor sarankan untuk saya ambil? Saya berharap doktor dapat membantu.

Ikin,

Johor Bahru, Johor

Adakah anda mempunyai masalah berkaitan haid? Adakah anda mempunyai senggugut? Adakah anda dikesan mempunyai penyakit sakit puan yang mungkin ada kaitan dengan kesuburan? Adakah anda mempunyai penyakit lain yang juga memberi kesan kepada pengeluaran telur misalnya tiroid?

Kaedah selamat pencegahan kehamilan adalah kaedah yang memberi risiko kehamilan di bawah satu peratus. Setiap satu kaedah berikut tidak semestinya terbaik untuk semua orang.

Anda boleh memilih kaedah pil, suntikan, implan dan seumpamanya, tetapi pada masa sama, anda mesti memahami kesan sampingan setiap kaedah. Contohnya, kaedah pil berkombinasi tidak memberi perubahan kepada haid (kecuali haid berjumlah sedikit), tetapi ia memerlukan kesungguhan mengambilnya setiap hari yang ditentukan tanpa terlupa).

Kaedah implan pula mungkin memberikan kesan ketiadaan haid atau haid sangat sedikit. Ada wanita yang menyukai kesan ini kerana lebih mudah beribadat dan tiada halangan hubungan seks, tetapi ada wanita yang merasakan 'tidak seronok' kerana tidak didatangi haid sedangkan kaedah implan paling berkesan menghalang kehamilan. Berbincanglah dengan dok­tor anda sebelum membuat keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:00 AM