Kuala Lumpur: Seorang lelaki terpaksa merengkok di dalam penjara 11 hari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencederakan sepasang suami isteri, selepas tidak berpuas hati dengan tindakan meludah kahak semasa berada di sebuah restoran.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhi hukuman itu ke atas Wang Week Fook, 36, seorang pekerja restoran Thailand, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Thang Beng Hong, 44, dan isterinya Jing Choy Ling, 44, menggunakan kerusi, minggu lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Jun.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Wang didakwa melakukan kesalahan itu di dalam restoran D’Mamak Style, Taman Miharja, Cheras, di sini pada pukul 5 pagi, 16 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mengikut fakta kes, Thang telah meludah kahak ketika dia berada di restoran itu menyebabkan sekumpulan lelaki menegur tindakannya, namun tertuduh yang berang mengambil pinggan dan memukul Thang.

Isteri mangsa, Jing, kemudiannya memohon maaf atas tindakan suaminya namun tertuduh tidak mengendahkannya malah bertindak memukul wanita itu menggunakan kerusi, meja dan kuali besi.

Kedua-dua mangsa kemudian terus melarikan diri sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Akibat kejadian itu, Jing patah pergelangan tangan kanan, luka di dahi dan tangan sebelah kanan manakala Thang mengalami luka di kepala.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hisham Mohd Nen memohon mahkamah menjatuhi hukuman denda yang minimum dengan alasan tertuduh perlu menyara tiga orang anak yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan dan trauma yang dialami mangsa.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Wang berdepan satu lagi pertuduhan iaitu melakukan rompakan dan dalam masa sama mencederakan seorang pekerja bahagian pemasaran warganegara Vietnam, Februari lepas.

Wang bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu terhadap Vo Hoang Tu, 29, sehingga menyebabkan kerugian RM4,000 di dalam kawasan perumahan Flat Miharja Fasa 1, Jalan 1/93, Cheras, di sini pada pukul 4.30 pagi, 24 Feb.

Wang yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Hakim Azman Ahmad menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:35 PM