Mohd Asri dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dan didenda RM300 selepas mengaku salah atas tuduhan melakukan mudarat awam di sebuah restoran di Subang Jaya awal minggu lalu. FOTO  FAIZ ANUAR
Mohd Asri dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dan didenda RM300 selepas mengaku salah atas tuduhan melakukan mudarat awam di sebuah restoran di Subang Jaya awal minggu lalu. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang gelandangan didenda RM300 atau tujuh hari penjara jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan membuat kekecohan di sebuah restoran di Subang Jaya, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Asri Abdullah, 50 membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan, bekas pemandu lori itu didakwa melakukan mudarat awam sehingga menyebabkan kegusaran kepada orang awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Putra Heights, Subang Jaya, 9 pagi, 4 Jun lalu.

Justeru, dia sudah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang mana dia boleh dikenakan denda sehingga RM400.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon mahkamah mengenakan denda setimpal agar menjadi pengajaran selain tertuduh tidak mengulanginya.

Menurut fakta kes, Mohd Asri didakwa datang ke restoran berkenaan untuk membeli makanan dan memberitahu pekerja supaya jangan memanggilnya dengan gelaran 'pakcik' sebaliknya memanggil 'abang' atau 'baby'.

Dia yang berang dengan keengganan pekerja terbabit kemudiannya membaling bungkusan nasi serta air Nescafe panas menyebabkan ia terkena anak pemilik restoran yang berusia empat tahun.

Tertuduh terus mengamuk menendang meja, membaling kerusi, meludah dan mengatakan sesuatu dengan bahasa yang kurang difahami serta berkelakuan pelik.

Sebelum ini, klip video memaparkan seorang lelaki tiba-tiba mengamuk sehingga mencederakan seorang kanak-kanak tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 12:02 PM