SALIM (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah di sini, hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
SALIM (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah di sini, hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Umpan batu delima merah konon bernilai tinggi dan boleh ubati pelbagai penyakit sehingga menyebabkan warga emas terpedaya, tindakan seorang lelaki warga Indonesia mendapat balasan apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan, tiga sebatan dan denda RM8,000 selepas Salim, 44, mengaku salah melakukan perbuatan itu.

Tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 68 tahun dengan memperdayakannya dan dengan curang mendorong wanita itu untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM12,500.

Wang diserahkan wanita itu kepada tertuduh bagi pembayaran batu merah delima berikutan dimaklumkan ia bernilai tinggi dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit, yang mana wanita itu tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 9 Disember tahun lalu, pada jam lebih kurang 10 pagi di tempat letak kereta Pasar Awam Kuala Klawang, Jelebu.

Oleh yang demikian tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman susulan perlu menanggung keluarga selain tiga anaknya masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie pula memohon hukuman lebih tegas berikutan kerugian dialami warga emas itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukum penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 1:27 PM